Siti mahu tembusi Asia.

“Oleh Rudy Imran Shamsudin

PENYANYI nombar satu negara Siti Nurhaliza sewaktu menang besar di Anugerah Industri Muzik (AIM 04) mendedahkan bahawa dia pernah diundang oleh Bollywood untuk menyanyikan lagu Hindustan.

REBUT PELUANG… jadi artis jemputan di Golden Melody Awards yang berlangsung di Taiwan. — Gambar HASRIYASYAH SABUDIN

Namun kerana sibuk dengan aktiviti seni dalam negara tawaran itu terpaksa ditolak.

Bagaimanapun dengan kemunculan album kesepuluhnya, Prasasti Seni, Siti bersedia melangkah lebih jauh dengan cuba menguasai industri muzik Asia pula.

Nama Siti di beberapa negara Asia Tenggara sudah cukup dikenali terutama di Singapura, Brunei dan Indonesia. Malah di negara seberang, nama puteri pop itu setaraf dengan artis besar mereka seperti Kris Dayanti dan Shanti.

Bagi menjadikan impian itu menjadi kenyataan Siti bersama syarikat rakamannya Suria Records sedang berusaha untuk menyertai kerancakkan industri muzik di benua China.

Sebagai langkah pertama, Siti mahu menggunakan peluang menjadi artis jemputan di Golden Melody Awards yang berlangsung di Taiwan pada 6 hingga 9 Mei ini sebaik mungkin.

Siti menjadi artis Melayu pertama yang diundang untuk menyampaikan anugerah sekali gus mengadakan persembahan dengan mendendangkan dua buah lagu Cina yang pernah dipopularkan oleh Teresa Teng.

“Untuk melangkah dalam industri muzik luar, Siti kena akur dengan kehendak peminat di sana. Sebagai strategi Siti akan menyanyikan lagu cina malah lagu Inggeris jika itu yang mereka mahu.

“Sekiranya Siti sudah ada kumpulan peminat sendiri, barulah Siti akan menyanyikan lagu Melayu yang dicipta oleh anak tempatan.”

“Namun sebelum perkara itu menjadi kenyataan, Siti perlu bekerja keras dan cuba memenangi hati peminat di sana,” ujarnya.

Lebih manis lagi Siti akan mengadakan persembahan di hadapan ribuan penyanyi terkenal berketurunan Tiong Hua yang berasal dari seluruh pelusuk dunia.

Siti diundang untuk menjayakan Golden Melody Awards setelah Pengarah Urusan SRC, Tan Su Loke memperkenalkan penyanyi itu kepada pihak Taiwan sewaktu dia mengadakan persembahan di Singapura empat tahun lalu.

Golden Melody Award yang diadakan buat 5 kali ke-15 dianjurkan oleh Presiden Asia Plus Broadcasting Limited, Fu Hon Kow. Ia dijadualkan berlangsung pada 8 Mei dan boleh ditonton masyarakat Malaysia menerusi siaran Astro saluran 19 AEC jam 8.00 malam.

Walaupun asing dengan pasaran muzik di benua China namun Siti sudah mula mendapat liputan meluas dari pihak media Taiwan.

Akhbar di sana turut mengembar-gemburkan bahawa Siti seorang gadis timur mewakili wanita muslim. Dua akhbar di Taiwan turut menyanjung bakat yang dimiliki oleh biduanita muda itu kerana pencapaiannya yang meraih banyak anugerah di dalam mahupun luar negara.

Walaupun Sibuk dengan usahanya untuk melangkah lebih jauh, namun Siti tidak melupakan peminatnya di rantau ini.

Bagi memastikan album terbarunya diterima baik oleh peminat di Indonesia, Siti akan terbang ke Jakarta pada 29 April ini untuk promosi awal album Prasasti Seni yang akan mula diedarkan di Indonesia pada 10 Mei. Di sana album Prasasti Seni diedarkan oleh pihak EMI Indonesia.

Siti akan berada di sana sehingga 4 Mei dan sepanjang waktu itu beberapa aktiviti telah diatur.

Antaranya, Siti akan menjalani rakaman dua buah klip video single dari album kesepuluhnya iaitu Seindah Biasa ciptaan komposer Indonesia, Pongki dan Dialah Di Hati ciptaan Aidit Alfian.

“Lagu Dialah Di Hati akan diarahkan oleh Lasja Fauzia dan Seindah Biasa akan diarahkan oleh Rizal Manthovani. “Siti pernah bekerja dengan Rizal sebelum ini, dialah yang menghasilkan klip video Siti seperti Bicara Manis Menghiris Kalbu, Percayalah dan Bukan Cinta Biasa. Sementara Lasja, ini kali pertama Siti bekerja dengannya,” ujarnya.

http://www.emedia.com.my/”