Siti Letak Harapan Tinggi Pada Album Terbaru

DATUK Siti Nurhaliza meletakkan harapan dan sasaran yang tinggi agar album terbarunya, ‘Lentera Timur’ yang memuatkan lagu-lagu etnik akan diterima baik oleh masyarakat.

Dalam wawancara dengan Utusan Malaysia, Siti berkata:

‘Album ini amat unik dan pada pandangan saya ia merupakan khazanah yang cukup berharga. Saya tahu bukan mudah untuk menghasilkan album sebegini di kala industri muzik semakin kelam.

‘Namun, disebabkan jati diri dan semangat yang menebal untuk muzik warisan nenek moyang kita, saya teruskan juga.’

Album itu mengandungi 11 buah lagu. Sebanyak 10 daripadanya merupakan usaha komposer dan penulis lirik tempatan yang telah menghadiri ‘Bengkel Cipta Ekspres – Berirama Malaysia Bersama Siti Nurhaliza’ yang diadakan pada pertengahan tahun lalu di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Sebuah lagi lagu ialah ‘Cinta Ini’ ciptaan komposer Katon Bagaskara.

Siti menambah: ‘Album ini tidak menampilkan irama muzik Melayu asli 100 peratus kerana saya begitu faham dengan senario industri muzik masa kini. Disebabkan itu, saya lebih suka menamakan album ini sebagai kontemporari tradisional kerana muziknya yang disulami dengan muzik moden.’

Cyberita