Siti ke Makkah bawa anak tiri

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

28ct.jpg

KASIH ANAK: Siti menghadiahkan sejambak bunga kepada
ibunya, Siti Salmah Bachik.

KETIKA artikel ini ditulis, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin sudah pun berada di Tanah Suci Makkah bersama suami tercinta Datuk Khalid Mohd Jiwa atau lebih terkenal dengan panggilan Datuk K.

Sejak bergelar isteri kepada ahli perniagaan dari Kedah Ogos tahun lalu, sudah tiga kali pasangan yang sedang bahagia menyemai cinta itu menjejakkan kaki ke Tanah Suci untuk beribadat.

Jika dua kali sebelum ini mereka hanya pergi berdua, tetapi kali ini dua anak tiri Siti, Mohd Adeeb, 18, dan Mohd Asyraf, 17, turut mengiringi pemergian mereka selama enam hari. Cerita sebegini juga bagaikan menepis segala khabar angin bahawa hubungan Siti dan anak tirinya hambar.

Malah, sebelum ini pun anak tirinya juga tetap kelihatan hadir dalam beberapa majlis yang membabitkan penyanyi itu seperti majlis sambutan Hari Setiausaha yang diadakan di Palace of the Golden Horses, baru-baru ini.

Mengenai pemergian mereka ke Makkah, tidak tersasar jauh jika doa paling atas pasangan popular ini di depan Kaabah adalah agar Tuhan mengurniakan cahaya mata kepada Siti yang barangkali sudah tidak sabar juga untuk menimang seorang bayi sebagai pelengkap kehidupan.

Sudah hampir sembilan bulan mendirikan mahligai indah, belum ada sebarang tanda, kecuali badan yang semakin berisi, penyanyi jelita itu berbadan dua. Berkali-kali juga dia menafikan bahawa dirinya kini hamil apabila diburu pihak media.

Mungkin Siti sendiri sudah bosan diburu soalan serupa setiap kali bertemu media. Namun, keinginannya untuk menimang cahaya mata memang terserlah kala menjayakan persembahan Ibu Ratu Hatiku – Sepetang Bersama Siti Nurhaliza dan M Nasir anjuran Mahir Entertainment & Production (MEP) di Dean Perdana Felda, baru-baru ini.

“Siti ini entah macam mana agaknya bila menjadi ibu,” katanya yang anggun dengan persalinan warna hijau pucuk pisang rekaan Datuk Tom Abang Saufi yang sedondon dengan suami tercinta.

Dalam majlis itu, Siti juga sempat bertanya kepada seorang peminat yang diundang ke pentas mengenai perasaannya bergelar seorang ibu.

Dalam persembahan hampir tiga jam itu, tiga ibu penyanyi itu iaitu ibu kandungnya Siti Salmah Bachik, ibu mentuanya Siti Zainab Hanafi dan ibu angkatnya turut hadir menyaksikan persembahannya. Malah, dalam majlis itu Siti menghadiahkan mereka sejambak bunga setiap seorang.

Pada petang itu juga, Adibah Noor selaku pengacara majlis memulakan persembahan dengan mendendangkan lagu keroncong daripada filem Mukhsin, Hujan dan lagu hitnya, Terlalu Istimewa.

M Nasir kemudian mengambil alih pentas dengan mendendangkan sebanyak enam lagu daripada album baru dan lamanya. Lagu yang didendangkan M Nasir ialah Raikan Cinta, Sang Pencinta, Kepada Mu Kekasih, Bonda, Suatu Masa dan Juwita Citra Terindah.

Dengan gelaran sifu yang diberikan, tidak ada masalah untuk M Nasir menghiburkan peminatnya yang kebanyakannya perempuan pada hari itu. Malah, Nasir bagaikan terkeluar daripada biasa kerana dia kini lebih ‘ligat’ dan tidak berat mulut dengan peminat.

Begitu juga dengan Siti yang tidak pernah mengecewakan peminatnya. Apa saja lagu yang dibawakan pasti sedap kedengaran, sekalipun ketika peminat mengerumuninya. Walau susah untuk bergerak kerana peminat yang tidak mahu terlepas peluang mengabdikan gambar penyanyi kesayangan mereka, Siti tetap memberikan persembahan memukau.

Pada petang itu, Siti juga mendendangkan sebanyak enam buah lagu. Memulakan persembahannya, Siti memilih lagu joget iaitu Joget Pahang dan lagu Bunga Melor yang menjadi kegemaran ibunya. Siti turut mendendangkan lagu Gubahanku, Umi, Pastikan dan Aku Cinta Padamu.

Mengakhiri persembahan pada petang itu, tiga penyanyi hebat pada petang itu mendendangkan lagu duet milik M Nasir iaitu Dua Insan. Kehadiran pelawak dan pelakon Mazlan Pet Pet ke majlis itu turut menyerikan majlis apabila Siti mengundangnya ke pentas.