Siti Jahit Sendiri Kain Tudung

ImageShack
SELANGOR, 1 FEB 2008: Sejak pulang dari Tanah Suci Makkah, penampilan Diva Datuk Siti Nurhaliza terus menjadi perhatian jutaan peminat. Beliau tidak lekang dengan fesyen selendang dan tudung kontemporari, sesuai dengan imejnya yang sudah bergelar isteri dan hajah.

Terbaru, Siti, 29, menunjukkan sendiri kemampuannya menjahit kain tudung dan menjadi tukang jahit. Jelas penyanyi handalan itu seorang yang cekap kerana tahu membuat potongan serta ukuran yang sesuai selain pandai menggunakan mesin jahit.

Adakah Siti akan beralih arah untuk menceburi bidang rekaan fesyen muslimah pula? Mungkinkah juga wujudnya fenomena baru tudung atau selendang Siti Nurhaliza di pasaran seperti mana yang pernah berlaku ke atas artis lain seperti Waheeda, Uji Rashid, Wardina dan Bienda?

“Seronok pula dapat menjahit. Sebenarnya inilah kali pertama Siti menjahit tudung menggunakan mesin jahit elektrik. Dulu Siti cuma menggunakan mesin jahit lama di rumah dan ia meletihkan kerana terpaksa ‘mengayuh’ dengan kaki. Tapi dengan mesin jahit zaman moden ini, kerja jahitan pun jadi lebih senang,” kata Siti.

Yang pasti, apa Siti lakukan itu sebenarnya bukanlah satu lakonan tetapi aksi sebenarnya selepas dicabar oleh murai.com.my untuk program realiti web pertama, Aksi Murai. Siti adalah artis bagi episod terakhir yang diberi tugas menjadi tukang jahit dan berentap dengan peminat fanatiknya, Siti Rozaini Zakaria, 25.

Rakaman program menarik terbitan murai.com.my dan Astro Ria itu berlangsung di Butik Rose MZ, Kajang, baru-baru ini. Selain menjahit, Aksi Murai turut mencabar finalis Penyanyi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH07) ini turut menghias tudung berkenaan dengan butiran manik.

Siti turut mengambil kesempatan untuk mencuba stail pemakaian tudung mengikut kreativiti sendiri. Bagi Siti Rozaini atau Ain, beliau begitu terharu kerana mendapat peluang untuk bersaing dengan Siti selepas diundi oleh pengguna Internet khususnya di portal murai.com.my.

Episod menarik Siti dan Ain ini akan dapat anda tonton di murai.com.my mulai 8 Februari ini.

Sebelum ia disiarkan secara online, anda lebih dulu dapat menonton episod ke-11 yang menonjolkan pelakon jelita Fasha Sandha sebagai pekerja kilang keropok lekor di My Keropok House Trading Sdn Bhd, Shah Alam. Episod Fasha akan mula disiarkan di murai.com.my pada Isnin ini.