SITI JADI ISTERI DATUK K

Oleh
SAODAH ISMAIL

KUALA LUMPUR: Dengan hanya satu lafaz, penyanyi nombor satu Malaysia, Siti Nurhaliza Taruddin, selamat diijab kabul dengan ahli perniagaan, Datuk Khalid Mohd Jiwa, dengan maskahwin RM22,222 ($9,412) di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, semalam.

Seperti yang diumumkan sebelum ini, Siti, 27 tahun dan Datuk Khalid, yang lebih dikenali sebagai Datuk K, 47 tahun, memilih hari Israk Mikraj untuk melangsungkan hari bersejarah mereka.

Setengah jam sebelum bergelar suami isteri, pasangan ini ditu nangkan di tempat yang sama, disaksikan tetamu yang termasuk beberapa orang kenamaan.

Majlis itu, yang disiarkan secara langsung melalui TV3, agak mengecewakan beberapa wartawan apabila jurugambar masing-masing tidak dibenarkan memasuki ruang utama kerana TV3 memegang hak penyiaran secara eksklusif.

Siti, yang mengenakan pakaian sedondon dengan Datuk K, kelihatan anggun dengan baju dari kain lace ciptaan Razwan Radwil, lengkap dengan tudung dan selendang daripada kain yang sama.

Siti tiba di pekarangan masjid sekitar 10.10 pagi dengan sebuah kereta Mercedes hitam ditemani ibu dan ayahnya. Para jurugambar di situ tidak melepaskan peluang merakamkan wajah pertama Siti sebagai pengantin sebaik beliau tiba dan dibawa ke dewan muslimat. Beliau dibawa masuk ke ruang utama masjid hanya selepas istiadat persarungan cincin tunang selesai.

Gabenor Melaka, Tan Sri Khalil Yaakob, bertindak sebagai ketua adat bagi pengantin perempuan, manakala Tan Sri Khalil Mutalib mewakili pihak pengantin lelaki. Turut mengiringi Datuk K adalah pengamal perubatan Islam, Datuk Dr Haron Din.

Selepas acara pertunangan, dengan lima dulang hantaran pihak lelaki dibalas dengan tujuh dulang di pihak perempuan, imam Masjid Wilayah, Tuan Haji Mohd Sihir Mohd Sain, membacakan doa.

Sebaik saja selesai acara pertunangan, majlis diteruskan dengan ayah Siti melakukan wakalaf, iaitu memberi kuasa kepada jurunikah, Haji Nasaruddin Mohd Daud, dan acara akad nikah dilangsungkan.

Kira-kira 11.15 pagi, masing-masing dengan sekali lafaz, Datuk K dan Siti disahkan sebagai suami isteri. Pasangan pengantin itu kemudian menyertai tetamu khas lain dalam majlis makan tengah hari sebelum menemui pihak media untuk acara sidang media.

Sebilangan besar wartawan, terutama para jurugambar, tidak dibenarkan masuk untuk mengambil gambar. Datuk K tidak menyertai acara sidang media dengan alasan beliau bukan selebriti.

Dalam pertemuan dengan media selama setengah jam, Siti, yang kini bergelar Datin, berkata beliau berharap orang ramai dapat mendoakan kebahagiaannya melayari hidup baru sebagai isteri.

‘Siti berharap peminat-peminat dapat bersama-sama mendoakan kebahagiaan Siti,’ katanya sebelum meminta diri untuk menemui suaminya.

Tentang rancangan berbulan madu dan cahaya mata, Siti hanya berkata: ‘Semua itu masih belum dirancang lagi. Siti bersyukur semuanya sudah selamat dan Siti berharap peminat-peminat akan mendoakan kebahagaian Siti.’

Majlis persandingan mereka akan berlangsung pada 28 Ogos di Kuala Lumpur Convention Centre, manakala majlis di rumah ibu bapa Siti di Kuala Lipis, Pahang, akan diadakan pada 3 September.