Siti impi konsep perkahwinan bagaikan puteri

SUKAR sekali merisik konsep perkahwinan penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza Taruddin dan Datuk Khalid Mohamad Jiwa yang dianggap ‘wedding of the year’. Biarpun pengumuman sudah dibuat minggu lalu, masih banyak rahsia belum terungkai

Perancang Perkahwinan majlis berkenaan turut ‘mengunci’ mulut dengan alasan segala-galanya masih dalam perbincangan. Biarpun Siti ada mengumumkan perkahwinan dalam taman menjadi impiannya, konsepnya masih belum dipastikan.

Biarpun begitu, konsep perkahwinan dalam taman tidak banyak bezanya. Diinspirasikan daripada budaya Inggeris yang turut dikenali sebagai perkahwinan sambil bersarapan pagi. Bagaimanapun, ia tidak dibuat pada waktu pagi sebaliknya pada waktu petang mengambil sempena keindahan remang senja.

Jika benar konsep itu yang menjadi pilihan, lokasi taman berhampiran tasik berlatar belakangkan Menara Berkembar KLCC, pastinya menjanjikan suasana hebat untuk tema perkahwinan ini.

Melengkapi konsep perkahwinan Inggeris itu, ketibaan pengantin digembar-gemburkan bakal berarak dengan pedati menuju ke taman impian. Bagaikan kisah Cinderella yang menjadi kenyataan, peminat berpeluang melihat penyanyi kesayangan mereka sebagai puteri jelmaan itu.

Berdasarkan imaginasi yang dibayangkan beberapa pereka fesyen tempatan seperti Michael Ong, Radzuan Radzwill dan Khoon Hooi, warna seperti putih, krim dan merah jambu lembu menjadi tema utama bagi keseluruhan majlis ini.

Sememangnya putih adalah warna paling sebati untuk majlis perkahwinan dalam taman seperti diimpikan gadis yang pertama kali bakal melangkah ke gerbang perkahwinan ini.

Sesegar taman yang dihias indah, rona mulus ini mengalunkan irama romantis apabila diselangselikan dengan putih krim atau gading. Bermula dari pintu gerbang, gaun pengantin, jambangan di tangan serta hiasan bunga-bungaan diselubungi warna lembut ini.

Bunga segar menjadi pilihan Siti. Bunga mawar mungkin sudah terlalu biasa digunakan berbanding bunga yang sering menjadi pilihan untuk perkahwinan taman seperti gardenia, tulip dan hydrangea (bunga tiga bulan) yang lebih melahirkan suasana romantis.

Dekorasi atau hiasan taman pastinya mendapat sentuhan rona lembut yang anggun. Pintu gerbang menyambut ketibaan tetamu dengan hiasan bunga segar berwarna putih dan dedaun kehijauan yang melingkar di atasnya.

Meja menyambut tetamu dialas dengan fabrik linen putih dan ditaburi kelopak mawar sutera sepanjang bahagian tengahnya. Mangkuk batu kecil berisi pasir dan lilin menghiasi sepanjang laluan utama. Cenderamata berbentuk potpori yang dihiasi bunga atau manik berjurai menjadi kenangan manis untuk tetamu. Pasu kecil berisi anak pokok bunga mini tentunya menjadi cenderamata comel untuk acara seperti ini.

Perkahwinan dalam taman boleh menjadi elegan dan romantik dengan idea kreatif serta klasik. Kelancaran dan kemeriahan ini bergantung kepada perancang perkahwinan sebagai penentu konsep sesebuah majlis bagi melahirkan suasana yang diinginkan pengantin.

Bagaimanapun, berdasarkan kecenderungan Siti yang dikatakan pernah memilih ungu sebagai warna kegemarannya, kemungkinan besar ungu lembut menjadi pilihan konsep keseluruhan persandingannya itu. Kenapa ungu? Nampaknya setiap yang menjadi pilihan penyanyi tersohor itu ada maknanya. Ungu dikatakan membawa maksud kecemerlangan dan mungkin itu yang diimpikannya dalam hidup.

Apapun, kita tunggu saja perkahwinan yang dikatakan bakal memakan belanja ratusan ribu ringgit itu.