Siti – Fazli jelmaan Saloma & P.Ramlee?

23-03-2007 05:44:14 PM
Wahida Asrani

siti-saloma-1.jpg
Konsert Nostalgia Istana Cinta Tan Sri P. Ramlee & Puan Sri Saloma Bersama Datuk Siti Nurhaliza … Projek terbaru Datuk Siti Nurhaliza
(Koleksi Datuk Siti Nurhaliza)

Impiannya untuk mengadakan sebuah konsert penghargaan untuk Allahyarham Sudirman telah pun terlaksana beberapa tahun lalu.

Masih mengekalkan lokasi yang sama pada tahun ini iaitu di Istana Budaya, Siti kali ini kembali pula dengan konsert tribute untuk seniman dan seniwati tanahair, Tan Sri P. Ramlee dan Puan Sri Saloma.

Konsert Nostalgia Istana Cinta Tan Sri P. Ramlee & Puan Sri Saloma Bersama Datuk Siti Nurhaliza yang diadakan secara kerjasama antara Siti Nurhaliza Productions dan Istana Budaya ini merupakan konsert yang julung-julung kali diadakan bagi mengenang jasa dua lagenda seni itu.

“Pada awalnya Siti cadangkan pada IB untuk buat konsert khas untuk Saloma, kerana sehingga hari ini belum ada orang buat lagi tribute untuk dia. Tetapi, IB cadangkan pada saya agar buat sekali tribute untuk P.Ramlee.

“Siti tiada masalah dengan cadangan tersebut kerana lagipun kebanyakan lagu Saloma adalah ciptaan P.Ramlee sendiri.

“Siti sendiri pun sering menyanyikan lagu-lagu P.Ramlee di kebanyakan show. Bagi Siti, semua lagu P.Ramlee memang menghiburkan dan ada mesej tertentu,” ujar diva tersebut pada sidang media konsert tersebut di Istana Budaya, semalam.

Menurut Siti, kerana itulah dia langsung tidak merasa tertekan untuk membuat persiapan sempena konsert tersebut walaupun persediaannya hanya tinggal lebih kurang sebulan saja lagi sebelum konsert itu dijalankan selama dua malam berturut-turut iaitu pada 20 dan 21 April depan.

siti-saloma-2.jpg
“Apapun, Siti akan cuba bawa lagu-lagu tersebut dengan cara Siti sendiri tapi masih mengekalkan keindahan muzik P.Ramlee”
(Koleksi Datuk Siti Nurhaliza)

“Siti sudah biasa sangat bawa lagu Allahyarham. Sebut saja lagu apa, Siti rasa Siti boleh nyanyikan. Mungkin Siti perlu buat homework sikit jika ada perubahan dari segi penyusunan muzik.

“Apapun, Siti akan cuba bawa lagu-lagu tersebut dengan cara Siti sendiri tapi masih mengekalkan keindahan muzik P.Ramlee. Siti akan pastikan keaslian muzik Allahyarham masih ada, cuma kita akan ‘perindahkan’ sedikit saja,” katanya.

Pada konsert tersebut, Siti dijangka akan menyanyikan lebih 20 buah lagu termasuk secara duet dan medley, di mana pemilihan lagu dibuat bersama oleh Siti, pihak IB dan pengarah persembahan konsert tersebut, Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah.

Antara lagu-lagu yang akan dinyanyikan pada konsert itu adalah Engkau Laksana Bulan, Malamku Bermimpi, Dimanakan Ku Cari Ganti, Merak Kayangan, Dalam Air Ku Terbayang Wajah dan Berkorban Apa Saja.

“Kali ini Siti akan cuba bawa banyak lagu-lagu mereka yang orang jarang dengar sebelum ini. Jika kita perhatikan sebenarnya banyak hasil karya P.Ramlee yang ada diantaranya kita sendiri tidak pernah dengar.

“Sebab itu Siti akan cuba ketengahkan lagu-lagu ini yang Siti rasakan mampu menghiburkan penonton pada dua malam tersebut,” katanya lagi.

siti-fazli-saloma.jpg
Fazli Zainal diamanahkan menjadi Tan Sri P Ramlee pada konsert tersebut
(Foto fail The Star)

Konsert yang bakal berlangsung selama sejam setengah itu akan dibahagi kepada beberapa segmen, termasuklah segmen lakonan oleh artis undangan Isketambola.

Persembahan pada malam itu akan diiringi oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) dan selain Isketambola, turut dijemput membuat persembahan pada malam itu ialah Musly dan penyanyi baru yang sedang meningkat naik, Fazli Zainal.

Fazli akan turut bergandingan dengan Siti untuk beberapa buah lagu menerusi segmen duet.

Ditanya mengenai pemilihan artis jemputan, Siti berkata, pemilihan tersebut dibuat atas perbincangan semua pihak.

“Siti memang ingin cari muka-muka baru yang boleh diketengahkan lagi dalam industri ini, sebagai contoh, Fazli. Ini adalah satu platform yang baik untuk mereka ini tunjukkan bakat masing-masing agar boleh pergi lebih jauh dalam bidang ini,” ujarnya.

Kata Siti lagi, dia meletakkan harapan yang tinggi pada konsert ini agar berjaya mengembalikan nostalgia dua lagenda seni tanahair itu.

“Ini bukan konsert Siti semata-mata, tetapi apa yang Siti harapkan ialah agar masyarakat dapat mengenang kembali dan hargai jasa P.Ramlee dan Saloma di persada seni ini. Siti akan cuba jadikan konsert ini satu konsert yang menghiburkan.

“Insyaallah, jika sambutannya menggalakkan, Siti tidak teragak-agak untuk sambung lagi konsert ini mungkin kepada tiga malam, bergantung kepada pihak IB,” kata Siti.

Tiket-tiket berharga RM50, RM80, RM150, RM200 dan RM250 untuk konsert tersebut boleh didapati dengan menghubungi 03-40265558 atau dengan melayari laman web www.istanabudaya.gov.my