Siti Disyor Jadi Duta Dinginkan Suasana Panas

BANDUNG: Di sebalik hubungan Malaysia dan Indonesia yang kadang kalanya ‘panas’, diva dari Malaysia Datuk Siti Nurhaliza Tarudin (gambar), dicadangkan menjadi Duta Besar Budaya Masyarakat Melayu dalam usaha mengakrabkan hubungan rakyat di negara Nusantara.

Cadangan itu dibuat Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (Iswami) berdasarkan penerimaan besar masyarakat terhadap personaliti Siti Nurhaliza.

“Lebih baik gelaran itu datang dari masyarakat, lebih baik beliau diterima masyarakat, kerana gelaran itu akan menjadi abadi,” kata Ketua Iswami Indonesia, Saiful Hadi Chalid di sini, semalam.

Saiful Hadi, yang juga Ketua Pengarang Agensi Berita Indonesia, Antara, sebelum itu menyuarakan cadangan berkenaan semasa memberi ucapan awal pada Seminar Ekonomi Malaysia Indonesia (SEMI 10) dan berharap semua pihak di Indonesia dan Malaysia dapat menerima secara positif cadangan itu.

Seminar sehari itu, yang dianjurkan oleh Iswami, dirasmikan oleh Menteri Kewangan Kedua Malaysia Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Ketika menjelaskan lebih lanjut cadangan beliau itu, Saiful Hadi berkata, beliau yakin Siti Nurhaliza boleh memainkan peranan amat berkesan untuk “mendinginkan suasana“ ketika berlaku krisis dalam hubungan Malaysia dan Indonesia, misalnya.

“Ketika ada isu hangat, tak perlu payah-payah kita mengirim delegasi Malaysia atau Indonesia untuk menenangkan suasana, cukup dengan mengirim Siti Nurhaliza menyanyi dan mengatakan buat apa kita bermusuhan.

“Cukup itu saja, ini akan menggugah hati orang yang hanya melihat sesuatu perkara itu dari sisi negatif,” katanya.

Beliau berkata, di Indonesia misalnya, ada beberapa organisasi masyarakat yang mendakwa mewakili kelompok masyarakat tertentu, akan sering mengobar-ngobarkan sentimen rakyat Indonesia dengan kata-kata seperti ‘ganyang Malaysia’ bila ada isu hangat.

“Kita tahu sebahagian daripada mereka orang bayaran. Kita tahu mereka itu ahli politik yang mencari pentas untuk mencari populariti.

“Orang seperti ini tidak akan boleh berbuat banyak kalau ada, katakanlah Siti Nurhaliza datang, dia menyanyi dan mengatakan buat apa gunanya kita saling bermusuhan…ini akan mendinginkan suasana,” katanya.

Harian Metro