Siti diburu.

DEBARAN Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABP-BH 2001) sudah terurai, siapa pemenang 16 kategori yang dipertandingkan sudah diumum namun kemeriahan majlis gemilang di Arena Of Stars, Genting Highlands kelmarin masih menjadi bualan ramai.

Betapa meriahnya artis memasuki dewan melalui permaidani merah di laluan Star Walk, sementara peminat yang sabar menanti di kiri kanan laluan, menjerit sambil menghulur tangan untuk bersalaman dengan penyanyi, pelakon dan juga pengacara kesayangan mereka.

Tentunya Siti Nurhaliza yang digelar penyanyi nombor satu negara paling menjadi tumpuan apabila melangkah sopan dengan gaun labuh, tersenyum manis sambil melambai tangan kepada peminat.

Tidak ketinggalan jurugambar bertugas ligat merakamkan detik-detik manis penyanyi yang kini popular dengan lagu Percayalah. Itulah dia anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang yang mula menambat hati rakyat Malaysia berbilang bangsa kerana wajah manisnya, suara mersiknya serta dihormati kerana kesopannya.

Apa yang pasti, Siti meraih kejayaan besar petang itu apabila diumumkan Penyanyi Wanita Popular seterusnya dinobatkan Bintang Paling Popular yang menawarkan hadiah kereta Waja bernilai RM65,000.

Malah Siti mencatat kenangan paling manis sepanjang sejarah ABP-BH yang kini mencecah usia 14 tahun kerana mengekalkan dua gelaran itu selama lima tahun berturut-turut tanpa mampu digugat buat masa ini.

KRU yang pernah menang Penyanyi Berkumpulan Popular selama empat tahun sejak 1995, berjaya dirampas oleh Senario tahun lalu dan mereka mampu mengekalkannya tahun ini.

Seperti kata M Nasir, namanya saja anugerah popular yang dipilih oleh peminat, sudah tentu memberi pengiktirafan kepada mereka yang popular.

?Kemenangan anugerah ini tidak perlu dipertikaikan kerana diukur berdasarkan populariti, berbeza dengan penilaian terbaik akan timbul perbagai pendapat banyak pihak.

?Bagaimana mengukur populariti seseorang? Bagi saya tarikan personaliti dan penyanyi sudah tentu vokalnya. Itulah senjata untuk kekal lama dalam industri ini,? katanya yang hadir bersama isteri, Marlia Muda yang dijangka melahirkan anak perempuan akhir tahun ini.

M Nasir juga berjaya mempertahankan gelaran Penyanyi Lelaki Popular yang dimenanginya tahun tahun, mengecewakan empat pencabarnya, Ajai, Aqasha, Tan Sri SM Salim dan Yasin.

Arena Of Stars, yang mampu memuatkan 6,000 penonton, penuh sesak sebaik saja siaran langsung menerusi TV3 dimulakan, seterusnya menandakan bermulanya debaran kencang 68 finalis untuk merebut 16 anugerah yang dipertaruhkan tahun ini.

Namun tiada keputusan di luar jangkaan ataupun kejutan malah hampir semua pemenang mengulangi kejayaan tahun lalu seperti Siti, M Nasir, Erra Fazira, Abby Abadi, AC Mizal, Sathiya, Senario dan Rosnah Mat Aris.

Abby Abadi dan AC Mizal yang cukup sinonem dengan drama Gerak Khas diikuti filem Gerak Khas The Movie sekali lagi dipilih Pelakon TV Wanita/Lelaki Popular.

Bagaimanapun keduanya gagal menawan hati peminat untuk kategori Pelakon Filem Popular apabila anugerah berpihak kepada Erra dan Rosyam Nor. Sathiya dan Rosnah Mat Aris sekali lagi dipilih Artis Bukan Melayu Popular dan Pelakon Komedi Wanita Popular.

Sementara Pelakon Komedi Lelaki Popular dimenangi oleh anggota Senario, Mazlan Pet Pet mengecewakan dua rakannya, Yassin dan Saiful (Apek). Senario juga menang Penyanyi Berkumpulan Popular menewaskan New Boyz, Rabbani, Tyco dan Too Phat.

Namun Rabbani menebus kekalahan itu apabila dipilih Penyanyi Nasyid Popular menewaskan ?adik-adik? mereka, Hijjaz, Saujana, In-team dan Brothers.

Kemenangan Maya Karin untuk Artis Baru Popular memang sudah dijangka kerana populariti gadis campuran Melayu-Jerman ini sebagai model, pengacara dan filem filem.

Namun apa yang diragukan sekarang ini kemampuan Maya sama ada di layar perak atau bidang nyanyian. Dua filemnya, Seri Dewi Malam dan No Problem belum mampu menyerlahkan bakat Maya sementara album sulungnya hanya akan dipasarkan tidak lama lagi. Maya menewaskan Danny X-Factor, Syura, Aqasha dan Illa Sabry.

Tahun ini empat kategori baru diwujudkan iaitu Pengacara TV Lelaki/Wanita Popular Samsudin dan Penyampai Lelaki/Wanita Popular, menggantikan Penghibur TV Popular dan Artis Kanak-kanak Popular.

Untuk Pengacara TV Popular, pengacara Who Wants To Be A Millionaire, Jalaluddin Hassan mengalahkan Halim Othman, Aznil Nawawi, Afdlin Shauki dan Shamsul Ghau Ghau sementara pengacara Nora, Normala Samsudin menang kategori wanita. Bagaimanapun Jalauddin yang turut dicalonkan untuk Pelakon TV Lelaki Popular tidak hadir petang itu.

Namun Halim diumumkan Penyampai Lelaki Popular mengalahkan dua rakannya di Era, Seelan Paul dan Jamal Jamaludin. Calon lain ialah Nasarudin dan Andy Hakim.

Linda Onn yang diumumkan sebagai Penyampai Wanita Popular turut mencatat kenangan manis apabila menjadi satu-satunya pemenang yang berucap di hadapan penonton berbanding pemenang lain diberi peluang berucap di hadapan kamera di belakang pentas.

Mungkin terlalu seronok hingga Linda lupa bahawa majlis petang itu tidak menyediakan ruang untuk pemenang berucap mungkin mengelakkan ucapan panjang berjela-jela daripada pemenang.

Selain menanti keputusan diumumkan, untuk memeriahkan lagi majlis gilang-gemilang ini, persembahan artis serta kehadiran pengacara di pentas menjadi tentunya menjadi tumpuan tetamu jemputan dan juga penonton di rumah.

Siaran langsung ABP-BH 2001 yang juga dapat diikuti menerusi Radio Era dan laman web www.virtualmalaysia.com tepat jam 4 petang itu menampilkan penyanyi hebat tanah air sama ada yang baru dan juga lama.

Siti Nurhaliza berjaya memukau hadirin dengan lagu Percayalah bersama enam penari yang begitu lembut bergerak bagaikan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa.

Ziana Zain yang anggun dengan gaun hijau dihiasi renda hitam di dada melontarkan vokal bertenaganya menyanyikan medley Madah Berhelah dan Menadah Gerimis.

Apa yang menarik, medley ini menggabungkan lagu yang menjadi taruhan album pertama Ziana 10 tahun lalu dan juga album terbarunya, Aku Cintakan Mu.

Peminat setia Ziana tentu masih ingat bagaimana penampilan Ziana 10 tahun lalu mempertaruhkan lagu ciptaan Saari Amri dan kini dalam usia 33 tahun dan bergelar isteri dan ibu menerusi lagu ciptaan Azmeer.

Sudah tentu penyanyi tampil dengan lagu dan konsep lain sesuai dengan perkembangan masa, begitu juga lagu tema ABP-BH 2001 melalui era perubahan apabila lagu ciptaan Rahim Othman dan lirik Datuk A Nazri Abdullah itu digubah semula oleh Datuk Wah Idris.

Tahun ini empat penyanyi muda yang berbakat besar, Krisya, Dayang Nurfaizah, Jeslina dan Anuar Zain diberi penghargaan menyanyikan lagu itu sebagai persembahan pembukaan.

Untuk menambat hati penaja, pembukaan ABP-BH 2001 dimulakan dengan persembahan tarian oleh penari tetap Arena Of Stars dan juga ahli silap mata Gianni Mattiolo.

Persembahan kumpulan popular Indonesia, Sheila On 7 (SO7) paling dinanti-nantikan, buktinya tepukan hebat diberikan apabila kumpulan yang popular dengan lagu Sephia ini muncul di pentas.

Vokalisnya, Duta yang ringkas dengan kemeja T warna oren memulakan persembahan dengan lagu keramatnya, Sephia, kemudian terus ligat dengan aksi ?longlai? Duta menyanyikan lagu Sahabat Sejati.

Penganjur juga memberi penghargaan kepada SO7 menerima anugerah khas kerana populariti mereka seterusnya tanda terima kasih atas kesudian SO7 datang memeriahkan majlis.

Penyanyi lain ialah Liza Hanim menyanyikan lagu Lagenda sebelum penyampaian angerah khas kepada dua pelakon veteran, Ahmad Mahmud dan Mariani. Aktres dan kini bergelar penerbit popular, Tiara Jacquelina membacakan puisi Sinar Terpilih.

Tidak ketinggalan persembahan hebat kumpulan Amuk menerusi lagu terbaru mereka, Dikir Timur serta Erra Fazira yang dinobatkan Pelakon Filem Wanita Popular menutup majlis dengan lagu Sandarkan.< br />
Syabas diucapkan kepada penganjur, Berita Haian dan juga TV3 kerana penat lelah mereka menganjurkan majlis besar-besaran itu berlangsung dengan jayanya.

Mungkin tidak mahu dibandingkan dengan Anugerah Era 2001 yang berlangsung di tempat yang sama dua minggu lalu, ABP-BH 2001 menampilkan kelainan menerusi gimik Senario dan Raja Azura untuk segmen mengumumkan senarai calon.

Ada mengatakan segmen itu meleret-leret dan membosankan, tidak kurang juga terhibur dengan telatah Mazlan Pet Pet, Wahid, Azlee, Yassin, Apek dan Raja Azura dengan telatah mereka yang disesuaikan dengan kategori dipertandingkan.

Namun majlis ABP-BH 2001 hilang kehebatannya apabila dikendalikan ramai pengacara dan bukannya seorang atau dua orang. Antara yang terpilih ialah gandingan Normala-ND Lala, Ally Iskandar-Maya Karin, Salih Yaacob-Linda Onn dan Aidil Abdul Ghafar-Intan Suraya.

Penyampaian mereka begitu padat dengan informasi (membaca teks) menyebabkan suasana meriah atau berpesta kurang dirasai. Hakikat yang harus kita akui ialah penganjuran majlis hebat seperti ini tidak akan bermakna tanpa kehadiran pihak penaja,.

Kesannya penganjur perlu mengambil hati mereka melalui ucapan penghargaan hingga disebut berkali-kali, selain terpampang dalam buku cenderamata dan juga artikel, dengan harapan mereka akan terus memberikan kerjasama pada masa akan datang.