Siti, Datuk K serah sumbangan

JOHOR BAHRU: “Gelombang kedua banjir yang melanda negeri ini membuka mata semua pihak di seluruh negara supaya lebih berhati-hati dan saling membantu sesama sendiri bagi meringankan beban insan ditimpa musibah,” kata Datuk Siti Nurhaliza, di sini, semalam.

Beliau berkata, bukan saja Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) mahupun pihak korporat, malah semua lapisan masyarakat perlu bekerjasama bagi memulihkan keadaan mangsa banjir yang kehilangan pelbagai harta benda.

Menurutnya, bagi tujuan itu, beliau bersama suami, Datuk Khalid Mohamad Jiwa menerusi Yayasan Nurjiwa yang ditubuhkan selepas mereka mendirikan rumah tangga, berhasrat untuk membantu mangsa banjir.

“Saya sudah berhasrat untuk menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir sejak kejadian banjir pertama yang melanda Johor pada 19 Disember. Namun, hanya sekarang baru dapat meluangkan masa untuk mangsa banjir selepas kejadian yang lebih buruk melanda ini, ” katanya selepas menyampaikan sumbangan barangan keperluan daripada Yayasan Nurjiwa kepada Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) Johor Bahru, Chong Ah Ng, di sini, semalam.