Siti, Datuk K bantu mangsa bah Raub

23-01-2007 10:34:15 PM
RAUB: Kesukaran yang dirasakan 52 penduduk Kampung Kuala Semantan di sini yang terpaksa bermalam di pusat pemindahan akibat banjir sejak tiga hari lepas, terubat dengan kunjungan penyanyi nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza Tarudin hari ini.

siti2301a.jpg

Siti mendukung bayi yang baru berusia 13 hari, Anis Batrisyia Mohd Affendi sambil diperhatikan oleh ibunya Rodiana Ahmad, seorang mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di masjid Kampong Ulu Semantan sewaktu lawatan penyanyi itu bersama suaminya Khalid hari ini. (foto The Star oleh Nik Naizi Husin)

Siti Nurhaliza melalui Yayasan Nurjiwa yang diasaskan bersama suaminya Datuk Khalid Mohamad Jiwa menghulurkan bantuan berupa pakaian dan makanan kepada 15 keluarga yang ditempatkan di pusat itu.

Katanya pengalaman membantu mangsa banjir di Johor sebelum ini membuatkan beliau ingin terus menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di tempat lain juga.

“Siti dengan suami memang bercadang ke Pahang kerana Siti tahu daerah Rompin dilanda banjir, tapi setelah dapat tahu di Raub dan Lipis juga mengalami banjir, jadi Siti ubah rancangan dan datang ke sini dahulu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui bersama suaminya di Masjid Kampung Kuala Semantan di sini.

Beliau berkata sumbangan berkenaan diharap dapat meringankan beban penduduk yang bukan hanya kehilangan harta benda malah mengalami tekanan akibat bencana banjir. BERNAMA