Siti Cipta Cipta Di Korea

Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT
amirah.amaly@utusan.com.my(Yang mengikuti program Bersama Datuk Siti Nurhaliza di Korea baru-baru ini)


Di hadapan Kilang Hanbul Cosmetics Yongsung-ri Samsung-myun yang terletak di Eumsung Chongbook, Korea.

CUACA sejuk menjemput kami sekumpulan tujuh petugas media bersama penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza yang tiba di Lapangan Terbang Incheon, Korea sekitar pukul 10 malam, Selasa lalu. Suhu termometer menunjukkan angka 0 darjah selsius memercikkan mood teruja kerana ini adalah trip kali pertama buat rata-rata peserta ke negara yang terkenal dengan drama rantaian Winter Sonata itu.

Manakala bagi anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang pula, ini adalah urusan lawatan kali keempat ke Korea membabitkan perniagaan produk kosmetik dan penjagaan muka, SimplySiti yang beroperasi sejak dua tahun lalu.

Sementara program Bersama Datuk Siti Nurhaliza di Korea pada 22 hingga 25 November itu adalah kali pertama dianjurkan buat petugas media bertujuan memberi gambaran bagaimana operasi kilang SimplySiti berjalan.

Lawatan selama tiga hari dua malam itu turut mendapat penajaan syarikat penerbangan tambang murah jarak jauh, AirAsiaX.

Dalam perjalanan di bumi Korea itu Siti memberitahu bahawa dirinya akan berkongsi magis terbaru dan bersedia menunjukkannya pada hari ketiga lawatan.

Menjelang hari yang dijanjikan, rombongan dibawa ke Kilang Hanbul Cosmetics Yongsung-ri Samsung-myun yang terletak di Eumsung Chongbook setelah duduk di dalam bas selama sejam setengah dari bandar Itaewon.

‘Di sinilah Siti simpan magis terbaru Siti melibatkan produk yang diberi nama Demagic, sebuah lagi projek terbesar SimplySiti,’ akhirnya terdedah rahsia penyanyi yang lahir pada 11 Januari 1979 itu.

Katanya, Demagic adalah sebuah set penjagaan kulit sesuai dengan gaya hidup masyarakat moden masa kini. Rawatan yang ditawarkan mencakupi semua golongan tanpa mengira jantina dan peringkat usia.

Produk Demagic boleh didapati di pasaran tanah air bermula tahun depan selepas melalui proses pembangunan dan penyelidikan (R&D) secara saintifik oleh sekumpulan saintis dan pakar kulit.

Kesemua bahan yang digunakan juga telah diuji di makmal berulang kali sejak awal tahun lalu sebelum mendapat pengesahan halal daripada Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim).

Sebelum itu, satu sesi taklimat dibuat oleh pihak Hanbul Cosmetics yang dihadiri Ketua Pengarah R&D Hanbul Cosmetics, Pyo Hyung Bae, Naib Presiden Eksekutif SimplySiti, Datuk Normaziah Sheikh Mohamed dan Pengurus Kanan Penjenamaan dan Pemasaran SimplySiti, Amiel Junita Nasir.

Turut hadir dua wakil dari pihak Jakim iaitu Penolong Pengarah Kanan (Audit), Mohd. Fakarudin Masod dan Penolong Pengarah (Hub Halal), Johari Ab. Latiff.

Topik yang menjadi perhatian petugas media adalah kesucian produk yang dikeluarkan di bawah jenama SimplySiti.

‘Isu tentang kesucian SimplySiti adalah cabaran terawal buat Siti yang baru hendak berjinak-jinak dalam bidang perniagaan.

‘Sebenarnya, isu ini tidak timbul kerana kami menjalinkan kerjasama yang erat dengan pihak Jakim dengan memenuhi semua peraturan dan spesifikasi yang diminta.

‘Semua produk dari SimplySiti sememangnya bersih dan tidak perlu diragukan bermula dari bahan mentah sehingga proses pembungkusan dan penghantaran ke Malaysia,’ jelasnya panjang lebar.

Ditanya apakah cabaran utama buat diri penyanyi berusia 32 tahun setelah bergelar ahli perniagaan, ini jawapannya.

‘Siti melihat apa juga cabaran melanda sebagai pembakar semangat buat diri untuk terus ke hadapan. Sekarang ini Siti fokus untuk mendapatkan produk yang terbaik, berkesan dan bukan bersandarkan kepada populariti semata-mata.

‘Kena juga fikir cara untuk mengekalkan prestasi ini sebab Siti tak mahu buat macam melepaskan batuk di tangga sebab pelaburan yang dibuat ini bukan calang-calang,’ ulas Siti panjang lebar.

Utusan