Siti Belum Buat Keputusan

Hip

Siti belum buat keputusan
Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my
2012/01/13
Dicalonkan bersama Lada Gaga, Agnes Monica dalam Intuned Music Awards 2011

BINTANG paling popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010, Datuk Siti Nurhaliza belum membuat sebarang keputusan berhubung tawaran berlakon oleh syarikat produksi dari Indonesia, PT Kentfilms Production yang mahukan dia membuat kemunculan istimewa dalam filem mereka berjudul Kekuatan Cinta.
Menurut Siti, keputusan sama ada untuk dia bersetuju atau tidak akan dilakukannya sebaik saja dia pulang dari bercuti.
“Tawaran berlakon itu akan Siti lihat dan pertimbangkan. Perkara itu hanya akan diputuskan selepas Siti kembali ke tanah air,” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dikirimkan kepada Hip, semalam.

Siti ketika ini sedang bercuti bersama suami tercinta, Datuk Seri Khalid Muhd Jiwa di Dubai.

Berdasarkan laporan akhbar ini semalam, pengarah filem itu, Iwan Sardi berhasrat mendapatkan Siti untuk digandingkan dengan Nicholas Saputra serta bintang ternama lain seperti Christine Hakim dan Dian Sastrowardoyo.

Selain Siti beberapa bintang dari Malaysia termasuk Fasha Sandha, Melissa Saila dan Raja Ema juga bakal diundang untuk beraksi dalam filem yang diadaptasikan daripada novel popular itu.

Sebelum ini Siti juga pernah dikatakan menerima tawaran berlakon untuk membintangi teater muzikal Laskar Pelangi dan menerima bayaran RM1 juta tetapi penyanyi itu menafikannya.

Mengenai pencalonannya dalam enam kategori di Intuned Music Awards 2011, sebuah anugerah yang menghimpunkan artis popular di seluruh dunia, Siti mengakui teruja dengan perkhabaran yang diterimanya itu.

“Siti sangat gembira kerana tercalon bersama-sama barisan artis tersohor dunia. Kalau diikutkan, Siti sememangnya kecil berbanding mereka, namun semangat yang ada peminat yang mengundi membuat Siti rasa dihargai dan terus bersemangat tinggi,” katanya.

Pada anugerah itu Siti dicalonkan dalam kategori Artis/Band Pilihan, Penyanyi Solo Wanita Terbaik, Album Terbaik, Muzik Video Terbaik, Penggunaan Media Sosial Terbaik dan Penyanyi Wanita Paling Seksi.

Dalam kategori Artis/Band Pilihan, Siti dicalonkan bersama-sama Avril Lavigne, Kim Hyun Joong, Lady Gaga, Agnes Monica dan Super Junior. Manakala kategori Penyanyi Solo Wanita Terbaik, penyanyi ini disenaraikan bersama Taylor Swift, Shakira, Christina Aguilera, Lady Gaga, Agnes Monica dan Adele.

Untuk kategori Album Terbaik 2011, selain All Your Love, Siti Nurhaliza, album lain yang tercalon termasuklah 21 (Adele) dan Born This Way (Lady Gaga). Peminat yang ingin mengundi Siti bolehlah melakukannya dengan melayari laman web www.intuned.com/awards

Berita Harian