Siasat e-mel fitnah.

Oleh Abie Abdullah
abie@hmetro.com.my

PUTRAJAYA: Polis memandang serius perbuatan pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan tohmahan dan fitnah melalui e-mel terhadap selebriti popular, Siti Nurhaliza dan beberapa wartawan hiburan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Musa Hassan, berkata pihaknya segera menyiasat pihak terbabit kerana mendapati ia bukan saja tohmahan, malah ugutan berbahaya.

Menurutnya, polis juga kemungkinan memberikan perlindungan peribadi terhadap sesiapa diancam bahaya.

“Pesalah dalam kes ini tidak akan terlepas dengan mudah, kerana kami akan menyiasat terperinci. Mereka terdedah kepada bahaya akibat e-mel itu, kami akan memberikan perlindungan sewajarnya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri (KDN), Datuk Noh Omar, berkata individu sasaran pengirim e-mel itu dikehendaki membuat laporan supaya isu itu tidak berterusan.

Katanya, ini prinsip polis bagi memastikan tindakan seumpama itu tidak terus berlaku sehingga mengakibatkan orang awam menghadapi risiko dan membahayakan diri sendiri kerana ugutan terbabit.

“Polis akan memberi perhatian sama kepada mana-mana individu menerima ugutan seperti ini apabila mereka membuat laporan polis,” katanya.

Isu e-mel mengandungi tohmahan dan fitnah terhadap Siti Nurhaliza dan beberapa wartawan hiburan turut mendapat perhatian Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan).

Pengerusi Kehormat Karyawan, Zaeinal Abidin Omar, berkata pihaknya memandang serius perkara itu yang disifatkanbukan lagi kes sivil tetapi jenayah.

“Ini perkara serius kerana e-mel itu mengandungi ugutan.

“Malah, seorang wartawan turut diancam dibunuh ala Mona Fandey. Keluarganya juga diugut akan diambil tindakan.

“Surat layang sudah menjadi trend mereka yang tidak bertanggungjawab. Mereka semakin berani sebar fitnah, memburukkan pihak tertentu. Saya harap perkara ini tidak dibiarkan menjadi budaya masyarakat,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/