Siapa Penyanyi Popular?

pix_gal0
Forum laman Facebook ABPBH semalam dihujani peminat yang teruja calonkan artis pilihan

Tahun ini mungkin boleh dianggap tahun paling menjadi buat penyanyi Shila Amzah. Selepas mengharumkan nama negara pada pertandingan Asian Wave, September lalu, penyanyi ini menggondol tiga trofi dalam dua anugerah berasingan.

Penyanyi dan pencipta lagu Patah Seribu ini membawa pulang dua trofi iaitu Lagu Terbaik dan Lagu Pop Terbaik pada Anugerah Industri Muzik Ke-19, (AIM19), dua minggu lalu.

Manakala Jumaat lalu, Shila menambah satu lagi portfolio kepada kerjaya seninya apabila menerima trofi Anugerah Power Vocal pada Anugerah Shout!

Kemenangan demi kemenangan yang diraih gadis ini seolah memberi bayangan awal, malah mungkin mempengaruhi keputusan undian peminat bagi kategori Penyanyi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH 2012 (ABPBH 2012) yang bakal berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur, April depan.

Melalui forum Facebook ABPBH, nama Shila nampaknya berada di tangga teratas apabila menjadi pilihan terbanyak pengikut laman forum ini.

Dalam tempoh tidak sampai setengah jam topik mengenai siapa penyanyi yang bakal membawa pulang trofi penyanyi wanita dan lelaki popular disiarkan, laman Facebook ABPBH menerima lebih 70 komen. Daripada jumlah itu, boleh dikatakan lebih separuh memilih Shila.

Tidak mustahil, ini boleh menjadi penanda awal. Shila mampu mara dalam kelompok finalis dan andai rezeki berpihak kepadanya, Shila mungkin merampas trofi berkenaan dari Yuna. Jika melihat kepada kerjaya nyanyiannya yang semakin berkembang sejak akhir-akhir ini, tidak mustahil anak dara ND Lala itu boleh menggenggam trofi berkenaan. Malah bukan sesuatu yang mustahil jika Shila akhirnya bergelar Bintang Paling Popular.

Namun, semua itu hanya akan menjadi kenyataan jika peminat Shila bersatu dan mengerah sepenuh jiwa dan tenaga mengisi borang undian yang mula disiarkan sejak 22 November lalu.

Bagaimanapun, kejayaan dalam beberapa anugerah sebelum ini tidak boleh dianggap sebagai jaminan atau kayu pengukur kepada kemenangan Shila di ABPBH 2012. Ini kerana senarai penyanyi wanita lain dalam pencalonan awal kategori ini juga tidak kurang hebatnya.

Nama Siti Nurhaliza masih disebut dalam forum

Sengat penyanyi lagu Pelangi Senja, Stacy nampaknya masih lagi berbisa. Stacy mengikut rapat Shila apabila dia menjadi penyanyi kedua paling banyak disebut dalam forum.

Melihat kepada populariti lagu balada pertama dendangan Stacy, bukan sesuatu yang mustahil untuk penyanyi dari Sabah itu muncul pemenang. Sejak menyertai industri hiburan tempatan empat tahun lalu, nama Stacy tidak pernah tercicir dalam senarai calon Top 5. Cuma nasib tidak menyebelahi dirinya apatah lagi ketika itu, Datuk Siti Nurhaliza masih lagi bertanding.

Sementara itu, biarpun sudah mengumumkan pengunduran daripada menyertai ABPBH dua tahun lalu, peminat Siti bagai masih belum dapat menerima kenyataan itu. Nama Siti Nurhaliza masih lagi menjadi pilihan popular di kalangan peminat forum ini selepas Shila Amzah dan Stacy.

Turut menjadi sebutan peminat ialah penyanyi Adira. Seperti yang diketahui ramai, makin panas ‘suhu’ kontroversi artis, semakin berkesan ia dalam mengumpan undi. Mungkin kontroversi putus cinta sebanyak dua kali bersama Hafiz dan AG Coco sedikit sebanyak mempengaruhi keputusan peminat.

Manakala bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular pula, nama Hafiz paling banyak disebut peminat. Jejaka itu yang popular dengan lagu Muara Hati muncul calon favourite di forum ini. Selain Hafiz, 22 calon lain disenaraikan antaranya Faizal Tahir, Awi Rafael, Black, Tomok, Jamal Abdillah dan ramai lagi.

Dua lagi artis diperkatakan peminat dalam forum ialah Aliff Aziz dan Hazama. Namun, jumlah peminat yang memilih mereka tidak sebanyak Hafiz.

Bagaimanapun, sekali lagi diingatkan, pilihan di laman forum ini bukanlah keputusan muktamad. Ini kerana pemenang dipilih berdasarkan jumlah undian yang dihantar menerusi borang undian. Pusingan pertama borang undian akan berakhir pada 26 Disember depan. Jadi, segera hantar borang pencalonan awal jika tidak mahu kecewa andainya artis pujaan anda tidak terpilih.

Berita Harian