Shila Ligat

Bila sudah punya nama, pasti diri terikat dengan pelbagai aktiviti seni. Begitulah kehidupan penyanyi muda, Nur Shahila Amir Amzah, 22, atau Shila Amzah yang terkejar ke sana-sini dek komitmennya yang padat.

Ditemui ketika mengejar penerbangan ke Shanghai, China sebaik membuat persembahan pada Malam Gala Amal Pamoga Gaza yang dianjurkan pengasas Vida Beauty, Datuk Dr Vida, malam kelmarin, Shila yang diiringi bapanya, ND Lala, hanya sempat ditemubual selama lima minit..

Baru pulang dari Miami, Amerika Syarikat (AS) pada 26 Disember lalu, Shila yang sepatutnya World Music Award (WMA) terpaksa menukarkan aktivitinya kepada percutian keluarga berikutan penganjur menangguhkan acara berkenaan hingga Mei depan.

Shila yang dicalonkan untuk dua kategori iaitu World’s Best Female Artist dan World’s Best Entertainer of The Year pada WMA, turut diundang membuat persembahan pada majlis itu.

“WMA ditunda kerana ada masalah dengan visa dan rakyat AS yang sedang bersedih berikutan kes tembakan murid ekolah di Newton, Connecticut. Jika diteruskan, ia bagaikan tidak wajar untuk mereka, jadi mereka tangguhkan WMA hingga Mei depan, katanya.

Shila berkata, dia bagaimanapun berpeluang berbincang dengan orang kuat iaitu pengasas WMA yang nampaknya berminat bekerjasama dengannya.

Kami ada membincangkan soal bersama yang akan diperhalusi kelak, kongsi Shila yang dijangka pulang dari Shanghai pada 2 atau 3 Januari ini.

Jika hendak diikutkan, Shila perlu berada di Shanghai selama sebulan untuk memenuhi beberapa aktiviti seninya di kota itu. Tetapi disebabkan dia bakal beraksi pada malam Anugerah Juara Lagu (AJL) pada 6 Januari ini, Shila akan pulang untuk beberapa hari.

“Selepas AJL, Shila akan kembali ke Shanghai. Shila harap dapat beri persembahan yang terbaik pada malam AJL,” katanya yang mendendangkan 17 lagu pada malam gala itu.

Antara lagu yang didendangkan ialah medley lagu Ibu, Yang Teristimewa dan Memori Tercipta serta Sinaran oleh Sheila Majid; Grenade (Bruno Mars); Zheng Fu (Na Ying); Set Fire To The Rain (Adele); Penawar Rindu (Rafeah Buang) dan Nirmala (Datuk Siti Nurhaliza).

Tidak ketinggalan, lagu Forever Love (Wang Lee Hom), Its All Coming Back To Me Now, Because You Love Me, To Love You More (Celine Dion), Sedar dan Patah Seribu.

Ditanya harapannya untuk 2013, Shila berkata, dia mahu meningkatkan prestasi dalam kerjaya seni dan mengurangkan kontroversi.

Berita Harian