Shahir, Juliana Paling Bergaya

Hip

Shahir, Juliana paling bergaya
Oleh Fatin Farhana Ariffin

2011/04/11
ABPBH medan pereka muda serlah kreativiti

BAGAI aur dengan tebing. Begitulah perumpamaan yang boleh diberikan kepada dunia hiburan dan fesyen. Sememangnya tidak dinafikan, dua bidang itu tidak mampu dipisahkan kerana kedua-duanya memang cukup saling berkait.

Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) pula tidak syak medan terbaik untuk menonjolkan kedua-dua elemen ini.
Bukan saja membuka peluang kepada barisan pereka muda untuk mempersembahkan daya kreativiti mereka dalam menghasilkan pakaian untuk digayakan selebriti yang memeriahkan majlis, malah secara tidak langsung barisan selebriti sendiri tampil menarik dengan sentuhan penuh ilham kalangan pereka muda ini.
Pembabitan barisan pereka muda pada majlis berprestij seperti ABPBH tidak dinafikan mampu menaikkan lagi nama mereka dalam dunia fesyen tanah air, malah mendekatkan lagi golongan kreatif ini dengan penggiat seni.

Seperti mana tahun terdahulu, ABPBH 2010 sekali lagi mengiktiraf rekaan yang dianggap terbaik oleh juri pada malam kemuncak acara itu baru-baru ini. Daripada puluhan bintang yang memeriahkan acara, pastinya ada beberapa rekaan digayakan memukau mata yang memandang.

Pada kali ini, Juliana Evans yang mengenakan gaun hitam hasil sentuhan Hatta Dolmat diumumkan sebagai pemenang pakaian terbaik kategori wanita. Manakala bagi kategori lelaki, Artis Baru Lelaki Popular ABPBH 2010, Shahir, yang menyarungkan sut warna sama rekaan Rizman Ruzaini dinobatkan sebagai pemenangnya.

Berkebetulan, pereka berkenaan ialah sebahagian daripada nama yang mengukuhkan jenama pereka 5 Stars yang turut menyerlahkan lagi penampilan bintang pada acara penuh gilang gemilang terbabit. Selain Hatta dan pasangan Rizman dan Ruzaini, kumpulan itu turut dianggotai Nik Erwan Roseli, Zery Zamry dan Hazwani Osman.

Digayakan oleh selebriti di mana sebahagian besar daripadanya ialah finalis ABPBH 2010, kemuncak acara anjuran Berita Harian itu memperlihatkan dimensi baru pelbagai gaya mahupun lelaki atau wanita menyusul di permaidani biru.

Permaidani biru dilimpahi gemerlapan rekaan Rizman Ruzaini yang digayakan oleh bintang terkenal, Datuk Siti Nurhaliza, Alyah, Liyana Jasmay, Ella, Elaine Daily dan Shahir.

Manakala, hasil rekaan Nik Erwan Roseli diperlihatkan di tubuh Sharifah Aleya, Faezah Elai, Siti Fazurina, Bkay Nair, Lydia Ibtisam dan Ammar Bahrin.

Aktres jelita yang kini tampil dengan imej bertudung, Irma Hasmie serta Marsha, Ning Baizura, Juliana Evans dan pemenang kategori Pengacara TV Lelaki Popular, Aznil Nawawi pula menggayakan fesyen rekaan Hatta Dolmat.

Selain itu, Dynas, Natasha Hudson dan Siti Saleha pula tampil dengan rekaan Zery Zamry, sementara dua bintang Akademi Fantasi (AF), Adira dan Stacy, serta kumpulan 6ixth Sense, Zizan dan Faizal Tahir tampil menyerlah dengan sentuhan Hazwani Osman.

Moden Klasik mengikut tafsiran pereka 5 Stars

MASING-MASING menonjol dengan rekaan tersendiri bersesuaian dengan tema yang diberi. Mengulas mengenai tema Moden Klasik pada malam itu, Hatta yang terbabit dengan ABPBH sejak enam tahun lalu berkata rekaannya lebih kepada gaya glamor klasik persis selebriti Hollywood.

“Saya mengekalkan gaya tersendiri Hatta Dolmat iaitu dengan mengikut kepakaran saya dari segi perincian. Selain itu warna yang digunakan juga berbeza untuk setiap artis, namun sesiapa yang melihatnya akan tahu bahawa ia adalah rekaan saya kerana saya menerapkan ‘trademark’ tersendiri.

“Saya banyak menggunakan warna seperti gangsa dan hitam di sebalik seni 3D yang saya tampilkan. Bagi gaun Juliana Evans, saya memodenkan gaun hitamnya supaya nampak lebih muda bersesuaian dengan usianya,” kata Hatta yang amat mementingkan aplikasi perincian.

Begitu juga bagi Nik Erwan yang baru pertama kali terbabit dalam ABPBH, di mana pereka muda ini hanya menggunakan satu warna untuk setiap rekaan.

“Untuk ABPBH kali ini saya menggunakan satu warna sepenuhnya dan tiada gabungan warna lain. Rekaan klasik yang saya terapkan ialah dari segi potongan, manakala konsep moden pula saya tampilkan pada make-up,” katanya.

Sememangnya warna memainkan peranan penting dalam rekaan kelima-lima pereka muda ini. Barisan pereka muda ini turut menitik beratkan potongan dan personaliti selebriti yang menggayakan pakaian mereka.

Bagi pemenang pereka popular ABPBH 2009, gandingan Rizman Ruzaini dilihat begitu menyerlah dengan daya kreativiti mereka tersendiri.

“Kami mereka persalinan untuk Ella, Liyana Jasmay, Alyah, Datuk Siti Nurhaliza, Elaine Dlay, dan Shahir, di mana kami mengetengahkan gaya mengikut personaliti artis itu sendiri bagi memacu gaya yang bersesuaian dengan potongan susuk badan mereka.

“Anda boleh melihat rekaan yang dipakai oleh barisan selebriti ini menerapkan kombinasi konsep klasik dan moden, selain mengekalkan ‘trademark’ kami sendiri iaitu menghasilkan gaun jenis bertingkat,” ujarnya ketika ditemui pada majlis minum petang bersama pereka 5 Stars beberapa jam sebelum acara kemuncak berlangsung.

Hazwani dan Zery Zamry turut menyatakan perasaan gembira mereka kerana diberi kesempatan untuk terbabit dalam acara berprestij seperti ABPBH, yang semestinya menjadi landasan terbaik untuk memperkenalkan lagi nama mereka dalam dunia fesyen dan seni tanah air.

Berita Harian