Seramai 5.3 Juta Tonton ABPBH2011

Hip
Seramai 5.3 juta tonton ABPBH2011
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
serima@bharian.com.my
2012/04/11
gambar sebelum  gambar berikut
Foto

PERSEMBAHAN Azlan dan Ziana Zain memukau penonton.

Foto

GANDINGAN Black dan Najwa Latif.

Finalis, artis persembahan buat penonton melekat depan TV

KEGEMILANGAN Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 yang berlangsung Ahad lalu terbukti apabila acara kemuncak yang dipancarkan secara langsung menerusi TV3 meningkat sehingga 5.3 juta penonton antara jam 10.50 hingga 11 malam.
Secara purata, ABPBH 2011 yang menyaksikan gabungan penyanyi hebat seperti Datuk M Nasir, Datuk Siti Nurhaliza, Amy Search, Ziana Zain, Anuar Zain, Dayang Nurfaizah, Alyah dan ramai lagi itu mencatat 4.7 juta tontonan.
Tahun lalu, ABPBH mencatat sebanyak 4 juta. Peningkatan berkenaan sekali gus membuktikan acara berprestij yang memasuki usia 25 tahun penganjurannya kian matang dan semakin mendapat tempat di hati peminat industri hiburan tanah air.

Kredit seharusnya diberikan kepada barisan artis yang menjayakan persembahan pada malam itu apabila masing-masing berlumba-lumba memberikan persembahan terbaik bagi menghangatkan lagi acara kemuncak yang berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands itu.

Bagaimanapun, populariti finalis juga tidak harus diketepikan. Mereka antara sebab utama penonton melekat di depan kaca televisyen, bagi mengetahui siapa yang pulang dengan trofi yang menjadi rebutan ramai terbabit.

Sementara itu, kemenangan yang diraih lebih awal pada Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-26 yang berlangsung Januari lalu, dilihat mempengaruhi kuasa undian peminat apabila Hafiz Suip yang dijulang sebagai pemenang vokal dan juara keseluruhan menerusi lagu Awan Nano sekali lagi mencatat gemilang apabila peminat memilihnya sebagai Penyanyi Lelaki Popular.

Selain Hafiz, turut mengulangi kejayaan pada malam itu ialah penyanyi lagu Tiga Suara, Ning Baizura, Jaclyn Victor dan Shila Amzah, apabila pemenang Naib Juara AJL26 itu membawa pulang trofi Penyanyi Duo/Berkumpulan Popular.

Bukan saja AJL memberi impak kepada keputusan undian peminat, populariti filem drama romantis arahan Osman Ali yang berjaya mengutip kira-kira RM11 juta turut membawa tuah kepada tunjang utamanya, Aaron Aziz dan Maya Karin.

Ketampanan dan lakonan berkesan Aaron sebagai Hariz melayakkan pelakon berasal dari Singapura itu membawa pulang trofi Pelakon Filem Lelaki Popular dan Bintang Paling Popular, manakala Maya Karin dengan trofi Pelakon Filem Wanita Popular.

Berita Harian