Separuh Akhir Muzik-Muzik Sengit

Pertandingan itu diadakan untuk mencari empat lagu terbaik dalam setiap kategori bagi melayakkan diri ke Juara Lagu 1998 yang diadakan pada awal Disember depan.

Lagu-lagu yang dipertandingkan terbahagi kepada tiga kategori iaitu pop rock, irama Malaysia dan balada.

Setiap kategori akan mempertandingkan 10 lagu terbaik yang dipilih berdasarkan markah tertinggi sejak lagu tersebut memasuki carta Muzik-Muzik musim lalu.

Menurut Ketua Penerbitan TV Ambang Klasik Sdn. Bhd. (AKSB), Fadzliniza Zakaria, pertandingan separuh akhir Muzik-Muzik tahun ini akan memberi peluang yang lebih luas kepada peminat untuk menyaksikannya.

Katanya, ini kerana saiz Studio Kota Francais yang akan memberi lebih banyak peluang kepada peminat untuk hadir menyaksikan pertandingan tersebut.

Dia memberitahu, persaingan pada tahun ini dijangka hebat memandangkan setiap lagu dan penyanyi yang bertanding mempunyai kelebihan yang tersendiri.

Semalam pertandingan dimulakan dengan kategori pop rock yang membariskan sepuluh lagu ialah Kekasih (Jay Jay/ S Amin Shahab), Joget Angan Tak Sudah (Jay Jay/Keon), Bila Resah (Anuar Zain/Aznul Haidi/Aznul Haidi), Tamparan Wanita (Elite/KRU/KRU), Semua Orang Tahu (Rem/Ajai/Ajai) dan Diari Biru (Maya/Jaluth/ Aliff).

Lain-lain lagu ialah Dunia Cinta (Liza Hanim/Helen Yap/Hani MJ), Bisikan Asmara (Siti Nurhaliza/Helen Yap/Amran Omar), Gigit (Rahim Maarof/Rahim Maarof) dan Satu Arah (Kool/Zuriani/Amran Omar & Hairee).

Kategori irama Malaysia pula dipertandingkan ialah Cindai (Siti Nurhaliza/Pak Ngah/ Hairul A Harun), Kias Fansuri (M.Nasir/ M.Nasir/Loloq), Dikir Puteri (Noraniza Idris/ Pak Ngah/Hairul A Harun), Joget Menyanyi (To’ki/To’ki) dan Joget Berhibur (Siti Nurhaliza/Rahim Jantan/Siso).

Turut terpilih ialah Rindu (Noraniza Idris/Fandi/Siso), Firasat (To’ki/ To’ki), Zapin Yang Tinggal (Ramlah Ram/Herman Tino/Herman Tino), Suatu Penentuan (Eisya/Abdul Ghani Ilyas) dan Ser.. Ser…Ser.. (Ifa Raziah/Nabila/ Nabila).

Bagi kategori balada pula, lagu yang terpilih ialah Getaran Cinta Di Jiwa (Liza Hanim/Adnan Abu Hassan/Hani MJ), Kita Ditakdirkan Jatuh Cinta (Spring/Eddie Hamid/Juwie), Sedalam Mana Cintamu (Safura/Ly/Baiduri), Kekasihku Diambil Orang (Lemon T/Saari Amri/Juwie), Berpisah Jua (Ziana Zain/Asmin Mudin/Asmin Mudin).

Turut bertanding ialah lagu Kembalilah (Rem/ Ajai/Ajai), Hanya Segenggam Setia (Rahmat/ Rahmat/Sutera), Wajah Kekasih (Siti Nurhaliza/Adnan Abu Hassan/Hani MJ), Juwita (Saleem/ Ajai/A. Zaman) dan Puncak Kasih (Ziana Zain/ Adnan Abu Hassan/ Maya Sari).

Oleh: ROZI ABDUL RAZAK

Utusan Malaysia