Sentuhan 5 Bintang

SEBELUM terhasilnya sesuatu rekaan yang hebat, langkah pertamanya bertitik tolak daripada sekeping kertas dan bebola pena. Bermula dengan satu garisan lalu membentuk sebuah lakaran lengkap menerusi daya kreativiti, tema, idea dan personaliti si pemakai serta pereka yang digabung bersama merealisasi apa diinginkan.

Lakaran yang sudah siap dan ditetapkan warnanya, ukur lilit tubuh serta perincian bakal diguna pakai perlu diterjemahkan pula kepada fabrik sebelum gaun idaman sedia mencuri tumpuan lensa.

Bagi sekumpulan pereka kreatif yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘5stars Designers’ diterajui Rizman Ruzaini, Hatta Dolmat, Hazwani Osman, Nik Erwan Roseli dan Zery Zamry, proses lakaran adalah rutin setiap kali memulakan sesuatu rekaan.

Sempena kehadiran Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011), Ahad ini, mereka sempat menunjukkan lakaran rekaan untuk tatapan pembaca Stailistik.

Mengakui cukup teruja dengan penganjuran ABPBH2011 yang memperkenalkan tema ‘Larger Than Life’, masing-masing cuba menampilkan rekaan yang cukup glamor bersesuaian sambutan Jubli Perak (25 tahun) acara berprestij itu. Konsep sebegini begitu digemari kebanyakan pereka fesyen kerana ia tiada batasannya bagi bermain ruang imaginasi.

Untuk tahun ini, Rizman Ruzaini jenama yang menggabungkan nama dua sahabat karib menghasilkan rekaan untuk Datuk Siti Nurhaliza, Ning Baizura, Fasha Sandha, Nur Fazura, Rozita Che Wan dan Ziana Zain.

Hatta Dolmat, menghasilkan sesuatu yang dramatik buat Erra Fazira, kumpulan Forteen dan Alyah yang akan menggayakan rekaannya untuk segmen persembahan.

Sementara Hazwani, mahu memberi transformasi dalam penggayaan Datuk Siti Nurhaliza, Shila Amzah, Faizal Tahir, Anzalna Nasir dan kumpulan Sixth Sense.

Manakala Zery, begitu teruja kerana buat pertama kali diberi kepercayaan untuk mereka pakaian artis pujaannya, Ziana Zain termasuk pengacara Fara Fauzana serta artis muda berbakat Shiha Mentor dan Chad Hot FM.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/04/01

Harian Metro