Sentral: Wan Syuhada Juara Idola Kecil Musim Pertama



WADA bersama trofi dan replika cek selepas dinobatkan juara Idola Kecil di Shah Alam, malam tadi.

SHAH ALAM: Peserta dari Cheras, Wan Syuhada Md Amin, 12, atau lebih dikenali sebagai Wada dinobatkan sebagai juara Idola Kecil pada pertandingan akhir yang berlangsung di Sri Pentas Dua Plaza Alam Sentral di sini, malam tadi.

Wada menyanyikan lagu Ketawalah Lagi nyanyian asal Datuk Siti Nurhaliza bersama Noraniza Idris, dengan iringan akuarium oleh Pak Ngah serta lagu solo Dinasti Cinta (Siti Nurhaliza).

Peserta cilik itu mengalahkan lima peserta lain dan membawa pulang hadiah utama wang tunai RM10,000. Tempat kedua dimenangi Ridzuan Haqiem Rusli, 10, dari Hulu Langat, Selangor yang membawa pulang RM5,000 dan ketiga, Syaza Farzana Shahrul Ridhwan, 12, yang menerima wang tunai RM3,000. Semua pemenang turut menerima trofi termasuk hadiah sampingan.

Peserta yang gagal menduduki tempat tiga teratas ialah Wan Muhammad Hafizuddin Wan Anuar, 11, atau Udin, Nur Syuhada Amir Hamzah, 12, (Shada) dan Mohd Shafieq Shazwan, 11, (Afiq). Mereka membawa pulang hadiah sagu hati RM500 seorang.

Rancangan realiti anjuran stesen televisyen TV9 itu bukan hanya menonjolkan bakat nyanyian, tetapi juga diselangi dengan visual aktiviti peserta sepanjang berada dalam Idola Kecil.

Berita Harian