Senarai Pemenang ABPBH 2010 Siap Diumu

Nasional

Senarai pemenang ABPBH 2010 siap diumu
Oleh Zul Husni Abdul Hamid
bhnews@bharian.com.my
2011/04/02
MUHAMMAD NAZIM (tengah) mengira undian sambil dibantu Raihan (kanan) dan Akmal (kiri) di Balai Berita, semalam.
MUHAMMAD NAZIM (tengah) mengira undian sambil dibantu Raihan (kanan) dan Akmal (kiri) di Balai Berita, semalam.
200,000 borang undian, SMS selesai dikira

KUALA LUMPUR: Senarai pemenang 17 kategori Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 sudah diputuskan apabila sesi penjumlahan undian selesai dijalankan di Balai Berita di sini, petang semalam.
Keputusan itu diperoleh hasil pengiraan lebih 200,000 borang undian dan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima penganjur sejak proses pengiraan bermula hujung Januari lalu dan berakhir jam 5 petang, semalam.
Semakan akhir senarai lengkap jumlah undian itu dibuat Juruaudit Dalaman, Jabatan Tata Urus Korporat The News Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP), Muhammad Nazim Ismail dan Raihan Zakaria. Hadir sama pada semakan akhir itu ialah Pengarang Hiburan Edisi Mingguan Berita Harian yang juga Timbalan Pengerusi Jawatan Kuasa ABPBH 2010, Akmal Abdullah, selain Pengurus Jabatan Teknologi dan Informasi NSTP, Rahim Mukeri dan Eksekutif Pentadbiran Editorial NSTP, Mohd Azly Shafian.

Keputusan penuh ABPBH 2010 akan diumumkan pada kemuncak acara yang berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands, malam esok.

ABPBH 2010, iaitu edisi ke-24 dianjurkan Berita Harian, akan dipancarkan secara langsung menerusi TV3 dan stesen radio Hot FM mulai jam 9 malam. Sekitar 6,000 penonton dijangka memenuhi Arena of Stars, memperlihatkan prestij acara hiburan yang menjalin kerjasama dengan syarikat telekomunikasi gergasi, Celcom Axiata Berhad sebagai penaja utama ABPBH 2010.

Pemenang Bintang Paling Popular ABPBH 2010 bakal membawa pulang kereta Nissan Teana 2.0 bernilai RM133,400 dan aksesori mutiara putih koleksi Primadona Klasik daripada Rafflesia/Mandalay bernilai RM180,000.

Sementara itu, pembaca bertuah pula akan membawa pulang hadiah utama iaitu kereta Grand Livina 1.6(A) berharga RM88,600 tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd.

Bertemakan Moden Klasik, ABPBH 2010 menggandingkan Raja Azura, Sharifah Shahirah dan Zizan sebagai pengacara, manakala segmen persembahan pula diserikan nama popular seperti Alyah, Anuar Zain, Datuk Siti Nurhaliza, Hujan, Ella, Ning Baizura, Yuna dan Azlan & The Typewriter.

Antara penyampai trofi ialah Aida Aris, Aida Khalida, Anita Sarawak, Ashraf Muslim, Dynas Mokhtar, Faizal Tahir, Fasha Sandha, Fizz Fairuz, Natasha Hudson, Rita Rudaini dan Sharnaaz Ahmad.

Berita Harian