Sembang Kak Cham: Perihal Artis Kahwin, Cerai

Oleh Hanizam Abdullah
hanizam@bharian.com.my

YANG rancak dan sensasi dalam dunia hiburan sejak akhir-akhir ini bukanlah kisah kutipan tiket bagi filem Melayu yang melonjak. Tidak juga jualan album yang semakin laku. Malah, kedua-duanya sepi saja macam juga filem Sepi yang kutipannya tidak memberangsangkan langsung. Bukan produser, krew dan pelakonnya saja yang kecewa, teman dan suku sakat di Hip pun kecewa dan ralat juga kerana filem itu memang best.

Namun yang rancak adalah cerita dan gosip artis dan selebriti yang bercerai-berai. Kekerapan cerita itu mengundang pelbagai reaksi pembaca akhbar teman yang begitu positif dengan wajah baru akhbar Berita Harian. Ada juga yang tak berapa suka apabila sudah kecil tetapi kebanyakannya suka. Kecil senang nak bawa ke mana jua! Terima kasihlah di atas sokongan itu dan teman harap sokongan itu akan berterusan.

“Kalau tak ada cerita artis cerai tak sah dan tak laku ke surat khabar ni Kak Cham?” Begitulah keluh kesah seorang pembaca yang memperkenalkan dirinya sebagai Wira. Hakikatnya, teman fahamlah lontaran rasa Wira itu kerana dia sebenarnya sudah muak dengan cerita sebegini.

Dua bulan lalu, kisah rumah tangga Farah Asyikin dengan seorang doktor yang akhirnya hancur berkecai. Selepas itu, kisah Beego pula yang begitu hangat dan sensasi. Biasalah apabila sudah masuk mahkamah, semua cerita luar dan dalam kain pun keluar.

Dua tiga minggu ini pula panas dengan cerita Norish Karman yang wajahnya semakin kerap muncul dalam drama swasta. Perkahwinan Siti Fairuz yang dulunya popular dengan lagu Bila Rindu Ku Sebut Namamu pun hancur juga. Terbaru dan tak kurang hangatnya adalah kisah cerai pelakon cantik dan comel Nora Danish dan anak bekas Menteri Besar Perak, Rizal Ashram Ramli mengisi dada akhbar.

Kasihan benar teman dengan nasib pelakon yang popular melalui sitkom Puteri ini. Sudahlah hamil, terpaksa pula berdepan dengan krisis sebegini. Teman faham sangatlah jiwa wanita itu. Apabila sedang mengandung mereka sebenarnya memerlukan sokongan semua pihak terutama suami. Tak apalah Nora, banyaklah bersabar dan beristighfar kerana barangkali ada kemanisan di sebalik kepahitan ini. Teman dan suku sakat mendoakan yang terbaik buat Nora.

Berbalik kepada cerita cerai artis di dada akhbar, hakikatnya juga, sebab mereka ini artis dan selebritilah maka cerita mereka mengisi dada akhbar. Kalau orang biasa siapalah yang hendak tahu kisah kahwin, cerai mereka. Macam juga cerita seorang artis yang terpaksa merangkak keluar daripada disko gara-gara terlampau mabuk. Kalau setakat orang biasa takkan masuk surat khabar kot!

Lalu kahwinlah banyak kali pun, cerailah banyak kali pun, pasti tak masuk surat khabar. Kecualilah kalau kes itu unik sehingga masuk mahkamah seperti yang berlaku terhadap seorang pemandu lori yang mahu berkahwin empat baru-baru ini. Itu pun bukan tak ada yang menjuihkan bibir kerana muak dengan cerita sebegitu.

Status artis itulah yang membuatkan kisah mereka mahu diikuti khalayak. Jadi tidak hairanlah kalau cerita kahwin, cerai kalangan selebriti memenuhi dada akhbar. Lebih popular artis itu, lebih keraplah mereka diburu. Sebelum kahwin pun mereka diburu, bercerai pun mereka diburu.

Bagaimanapun belum ada dalam sejarah hiburan tanah air artis membuat sidang akhbar bagi mengumumkan perceraian mereka kecuali Erra Fazira dan Yusry Abdul Halim. Selalunya, dalam kes cerai ini kebanyakannya memilih untuk mendiamkan diri saja. Yang selalu kita dengar cuma gosip dan soksek di belakang mengenai si anu dan si anu akan berpisah dan sedar-sedar saja sudah muncul di Mahkamah Syariah.

Atas status dan gelaran artis itu juga, bukan sesuatu yang asing lagi, mereka membuat sidang akhbar untuk mengumumkan majlis persandingan mereka macam Maya Karin minggu lalu. Siapa juga boleh lupa majlis perkahwinan Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa. Dengar khabarnya juga, Raja SMS pun akan membuat sidang akhbar bagi mengumumkan majlis pernikahannya. Teman tak kisah ini semua kerana semua ini memudahkan kerja wartawan.

Bagaimanapun, bukan tak ada artis yang mahu kahwin secara sorok-sorok. Faktor terpaksa sorok itu pun teman tahu jugalah. Ada artis yang sudah kahwin pun hendak sorok kerana kononnya bimbang populariti merudum. Tolonglah, zaman sudah berubah, peminat pun sudah matang dan mampu berfikir. Bujang juga bukan pasport untuk popular. Berapa ramai artis yang sudah berkahwin tetapi mereka masih lagi popular. Dan berapa ramai juga yang bujang tetapi tak juga popular!

Jadi sematkanlah di minda, yang penting bakat dan apa yang mereka boleh buat dan beri untuk industri hiburan tanah air bukan status perkahwinannya. Apa status Normah Bechok? Penulis gosip dalam sisipan Hip itu sudah berkahwin. Kak Pora penulis kolum Jeling Kak Pora dalam sisipan B*Pop itu pula pernah berkahwin. Ala… tak payah nak tahu sangat mengenai mereka itu. Teman dah kata, status bukan isunya. Okaylah, jaga diri, jumpa lagi! – hanizam@bharian.com.my

Berita Harian