Semakin Cerewet,pentingkan Kualiti

Oleh HARYATI KARIM


MENGAKUI menghadapi kesukaran berlakon di bawah arahan Kabir Bhatia.

USIANYA dalam lapangan seni baru menjangkau lima tahun, sungguhpun kelihatan seperti satu jangka masa yang pendek, sebenarnya sudah berpuluh-puluh drama menggunakan khidmatnya sebagai pelakon.

Paling menyerlah ialah ketika dia menjayakan watak gadis obes dalam drama bersiri Manjalara yang sekali gus meletakkan dirinya pada kelas yang berbeza daripada sebelumnya

Kewibaannya sebagai pelakon terbukti apabila terpilih untuk menjayakan pementasan teater berprestij iaitu P.Ramlee The Musical 2, menerusi watak Azizah menggantikan Siti Nurhaliza yang muncul pada musim pertama.

Semua ini membuatkan nama Emelda Rosmila Abdul Hamid mula dikenali di landasan arus perdana.

Oleh kerana itu, sebagai pelakon dia kini sudah boleh mula memilih tawaran produksi lakonan manakah yang dirasakan mempunyai kualiti daripada segi jalan cerita, pengarah dan juga produksi itu sendiri.

Menurutnya, pemilihan itu wajar kerana dia kini bukan berlakon atas tiket mahu menimba pengalaman kerana itu sudah dilalui di awal pembabitannya dalam bidang lakonan.

Kini, apa yang dimahukan Emelda adalah kualiti dan kepuasan yang hanya akan di perolehi dengan bekerja dalam produksi yang benar-benar menjaga mutu produk keluaran mereka.

Ini kerana dia sudah mempunyai pengalaman bekerja dengan antara mereka yang terbaik dalam industri seni tempatan.

“Memang sekarang saya sudah mula pilih tawaran yang berkualiti sahaja. Saya akan pertimbangkan pertama sekali skrip, jika jalan cerita bagus, seronoklah sikit berlakon.

“Kalau asyik dapat watak dan cerita yang lebih kurang sama, bukan saya saja yang bosan, penonton pun bosan tengok lakonan saya,” ujarnya.

Katanya lagi, pemilihan harus dilakukan untuk memastikan kerjayanya sebagai pelakon terus berkembang kerana bagi Emelda, dia sudah puas berlakon dalam drama yang menonjolkan jalan cerita yang lebih kurang sama berulang kali.

“Saya bukan demand, saya tidak pernah dengar cerita macam itu tentang diri saya tetapi saya memilih yang berpatutan.

“Kalau orang kata saya mula memilih tawaran itu memang benar sebab saya rasa sekarang ini masa yang sesuai untuk saya berbuat demikian,” tambahnya.

Tanpa berselindung, Emelda menyatakan rasa syukurnya kerana sepanjang berkecimpung dalam dunia lakonan dia sudah berjaya berlakon di samping beberapa pelakon terkenal seperti yang diidamkannya selama ini.

“Saya rasa bertuah kerana dapat berlakon dengan orang yang hebat dalam bidang lakonan, dan mereka sendiri menasihati saya supaya mula memilih tawaran yang datang.

“Bukan untuk berlagak atau pun demand, sebab ada produksi yang memberikan jalan cerita yang bagus pun memberi bayaran murah. Sekarang, saya pentingkan kualiti dan juga kepuasan diri bukannya wang semata-mata,” tegasnya.

Beritahu Emelda lagi, soal memilih tawaran lakonan bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana ramai juga pelakon yang lain berbuat demikian dan menegaskan pemilihan itu adalah hak masing-masing dan tidak perlu dipertikaikan oleh pihak lain.

“Saya bukan berlakon sebab tidak ada duit kerana itu akan menyebabkan saya berlakon main tangkap muat sahaja, tetapi saya mahu berlakon dengan penuh kesungguhan barulah watak yang saya lakonkan akan meninggalkan kesan,” bicaranya lagi mengenai pendiriannya.

Walaupun namanya semakin mekar dalam industri seni tempatan, adik kepada pelakon Emelia Rosnaida ini memberitahu, selain perubahan positif kerjayanya, dirinya tidak pernah berubah untuk menjadi orang lain.

“Kerjaya semakin berkembang, saya rasa biasa saja, masih seperti dulu, masih juga melepak dengan rakan-rakan, jika ada masa, masih buat kerja grafik seperti kad perkahwinan jika ada permintaan. Semuanya sama tidak ada yang berubah,” katanya.

Berlakon seorang diri

Seakan mahu lari daripada imejnya yang begitu sinonim sebagai Manja dalam drama Manjalara, Emelda mengambil keputusan berlakon buat pertama kalinya menerusi produksi drama genre seram, Kasihku Seru yang mula ditayangkan di TV3 pada 24 Julai lalu.

Biarpun begitu, seperti juga dalam Manjalara, drama arahan Kabir Bhatia ini mempertaruhkan sekali lagi bakat gadis berusia 28 tahun ini menerusi dua watak.

EMELDA kini berada di landasan arus perdana.

“Cerita ini agak unik sebab saya kena pegang dua watak sekali gus, sebagai orang dari zaman silam iaitu sebagai Mastura dan satu lagi watak ialah sebagai pelajar perubatan pada masa kini iaitu sebagai Marisa.

“Apa yang saya boleh katakan memang agak sukar untuk saya bawa dua watak ini, tetapi atas bantuan Kabir semuanya berjalan dengan lancar,” jelasnya.

Bukan kerana memikul bebanan dua watak sahaja yang menyebabkan Emelda terpaksa memikul tanggungjawab yang berat sebagai pelakon utama tetapi dia juga harus berlakon seorang diri dalam kebanyakan babak.

“Dalam drama ini, banyak babak saya kena berlakon seorang diri dan membayangkan benda yang tidak ada depan mata. Itu yang susahnya sebab efek hanya akan dimasukkan semasa suntingan nanti.

“Saya juga alami beberapa kecederaan kecil kerana buat adegan lagak ngeri sendiri, jadi saya alami sakit badan dan lebam-lebam. Sakit memang sakit tetapi bila tengok hasilnya, semua kesakitan itu hilang,” luahnya lagi.

Kesusahan, kepenatan terbayar

Meskipun ini kali kedua bekerja di bawah arahan Kabir selepas Manjalara, Emelda menjelaskan masih terdapat kesukaran ketika bekerja dengan pengarahkreatif ini.

“Sebenarnya setiap benda baru susah untuk dilakukan. Sama juga dengan saya, walaupun pernah bekerja dengan Kabir tetapi ini drama serama pertama saya, sebab itu bagi saya ia agak susah.

“Selain itu, dia (Kabir) agak cerewet, kalau tidak dapat apa yang diinginkan susahlah kami sebagai pelakon (ketawa). Ini kerana dia pernah mengarah filem, jadi cara dia mengarah drama pun seakan-akan filem dan kerana ketelitiannya drama ini mengambil masa yang panjang.

“Pernah juga ada ketika kami tidak jadi lakukan pengambaran hanya kerana props untuk drama ini tidak ada. Kabir memang ambil kira, daripada solekan, mutu lakonan dan segalanya dalam drama ini. Saya rasa seronok sebab dapat bekerja dengan produksi yang sungguh profesional,” ujarnya.

Malah, Emelda sempat memberitahu lokasi penggambaran drama ini yang bertempat di Kampung Janda Baik yang dikatakan antara tempat yang agak ‘keras’, tetapi sehingga kini tiada perkara buruk yang berlaku sepanjang penggambaran berlangsung.

“Ramai juga kawan cerita, kalau berlakon drama seram kena hati-hati sebab benda-benda halus ini akan ikut kita dan mengganggu, tetapi syukur semuanya berjalan lancar,” ujarnya lagi.

Turut membintangi drama seram ini ialah Fizz Fairuz, Umie Aida, Hairi Othman, Kuza dan Rose Iskandar.

Tamatkan zaman bujang

Bukan kisah kerjayanya sahaja yang menjadi perhatian, tetapi juga kisah cintanya bersama pelakon, pengarah dan pengacara terkenal Adlin Aman Ramli.


BERSAMA Fizz Fairuz yang turut membintangi Kasihku Seru.

Emelda mengakui dengan umurnya yang semakin bertambah, pastinya dia inginkan satu ikatan kukuh, iaitu ikatan perkahwinan. Cuma buat masa ini gadis ini masih mengunci mulut bilakah hari bahagia buat dirinya itu akan tiba.

“Kami memang rancang tidak mahu kawan lama-lama sangat, kalau kawan lama takut nanti perasaan cinta itu hilang, tetapi sekarang ini belum lagi sebab bapa saya pun baru meninggal.

“Setakat ini, saya senang dengannya sebab dia faham tentang kerjaya dan diri saya seadanya, jika hari bahagia itu muncul saya akan beritahu,” tuturnya menutup bicara.

Kosmo