Selepas Saloma, Siti Pula?

Oleh
Hanim Mohd Saleh
hanim@sph.com.sg

ALAHYARHAMHA Saloma yang pertama mendapat gelaran Bidunita Negara.

Kini dengan kemenangan Siti Nurhaliza dalam kategori Persembahan Vokal Wanita Terbaik Dalam Album di Anugerah Industri Muzik 2004 (AIM 2004) buat enam tahun berturut-turut, apakah beliau wajar menjadi artis kedua menerima gelaran serupa?

Penggubah lagu kelahiran Singapura, Azmeer, ketika memberi ucapan dalam majlis penganuragerahan yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, dan disiarkan secara langsung menerusi ntv7 Sabtu lalu berkata beliau berasa Siti memang telah mencipta sejarah luar biasa dan layak dinobatkan gelaran itu.

Apatah lagi beliau juga artis Malaysia pertama menerima anugerah khas Kembara buat kali kedua atas pencapaian dan kemenangannya dalam beberapa anugerah yang membanggakan di negara luar. Siti menerima anugerah sama pada 2000.

Azmeer juga salah seorang penerbit album Siti, EMAS, yang turut memenangi kategori Susunan Muzik Terbaik (Aubrey Suwito) untuk lagu Bukan Cinta Biasa, Album Terbaik dan Album Pop Terbaik.

Kebetulan ketika berlangsungnya majlis AIM 2004, genap 21 tahun Saloma meninggal dunia. Walaupun sudah ratusan kali naik ke pentas untuk menerima pengiktirafan (116 anugerah), Siti tetap berasa sebak dan air matanya tidak dapat ditahan-tahan ketika menerima anugerah terbarunya itu.

Dengan nada tersekat-sekat, Siti berkata: ‘Selama 10 tahun, Siti mengutip pengalaman, pahit dan manis adalah kekuatan untuk Siti terus berdiri. Apa yang Siti lakukan adalah untuk industri seni. Artis lama bagi Siti adalah sebagai inspirasi. Setiap kali membuat persembahan, Siti sentiasa mengingatkan diri, Siti membawa perjuangan muzik dari Malaysia. Tanggungjawab itu terlalu besar dan Siti menggunakan bakat yang dipinjam seketika ini untuk berbakti kepada masyarakat.’

Siti juga satu-satunya artis yang mengingati tarikh pemergian Saloma dan mengabadikan lagu-lagunya dalam konsertnya pada 14 April lalu.

Mengenai gelaran itu, Siti, bagaimanapun, berasa terlalu awal untuknya diberi pengiktirafan setinggi itu dan berkata beliau ‘belum bersedia’.

AIM 2004 juga memperlihatkan penguasaan artis baru lelaki, Reshmonu, yang menggondol tiga anugerah utama menerusi album sulungnya, Monumental.

Reshmonu artis pertama menerima pencalonan terbanyak iaitu tujuh pencalonan bagi enam kategori. Ning Baizura, yang menerima enam pencalonan bagi empat kategori, hanya menang satu anugerah iaitu Lagu Terbaik menerusi ciptaan Nurul dan Ajai, Selagi Ada… Cinta.

Secara keseluruhan, AIM 2004 berlangsung dalam suasana cukup sederhana. Namun ia berjaya mengembalikan nostalgia dan kegemilangan irama rock yang menguasai industri muzik sekitar pertengahan 1980-an.

Kumpulan legenda rock, Search, membuka tirai menerusi lagu hit klasik mereka, Pawana.

Ruth Sahanaya dari Indonesia pula memukau dewan dengan vokal yang cukup kental apabila membawakan lagu Maafkan Pemergianmu dan Keliru.

Begitu juga dengan persembahan lima vokalis wanita tanah air iaitu Siti Nurhaliza, Liza Hanim, Sarah Raisuddin, Ning Baizura dan Misha Omar yang digandingkan untuk lagu My All dalam versi Melayu.

http://cyberita.asia1.com.sg/