Seleksi Terbaik Siti, Kris

KOMEN: Saya percaya para peminat Siti Nurhaliza dan Kris Dayanti tentunya tidak teragak-agak untuk membeli album kompilasi ini yang menampilkan dua penyanyi kesayangan ramai tersebut. Malah, bagi yang tidak meminati Siti dan Kris pula tidak rugi mendapatkannya kerana album ini menampilkan seleksi lagu terbaik dua penyanyi bersuara gemersik merdu dari Malaysia dan Indonesia itu.

Antara lagu terbaik Siti yang dimuatkan dalam album ini ialah Aku Cinta Padamu, Bukan Cinta Biasa, Percayalah dan Purnama Merindu. Sementara, lagu-lagu terbaik Kris yang diketengahkan pula seperti Menghitung Hari, Mencintaimu dan Cobalah Untuk Setia. Lagu-lagu Siti dan Kris itu bukan sahaja tidak jemu untuk didengar tetapi kekuatan melodinya juga akan menjadikan lagu-lagu tersebut malar segar. Sukar untuk membandingkan mutu vokal dan gaya nyanyian dua penyanyi ini kerana masing-masing mempunyai cara tersendiri. Cuma penyerlahan suara Kris lebih ketara apabila album ini menampilkan lagu duetnya dengan Melly Goeslaw berjudul Cinta dan bersama Ajai (Hati Ini Telah Dilukai). Menerusi lagu duet antara lain dapat memperlihatkan keunggulan suara Kris berbanding teman duetnya. Sayangnya, dalam album ini tiada lagu yang menampilkan duet Siti dengan penyanyi lain. Justeru, Siti berdiri atas suaranya sendiri bagi memperlihatkan keindahan melodi serta keupayaannya vokalnya ketika membawakan lagu-lagu dalam album ini. Cuma kekuatan kebanyakan lagu Siti turut dibantu oleh suara penyanyi latar contohnya, menerusi lagu Purnama Merindu. Terdapat 16 buah lagu dalam album dalam bentuk paket digipak ini siap dengan liriknya sekali. Lagu-lagu dalam album ini mungkin telah melalui proses adunan semula memperdengarkan kualiti bunyi dan susunan muziknya yang mampu memuaskan halwa telinga para pendengar.

Judul Album: 2 Diva

Artis: Datuk Siti Nurhaliza dan Kris Dayanti

Konsep Muzik: Pop

Terbitan: Warner Music Malaysia dan Suria Records

Powered by Utusan Malaysia