‘Saya Tak Menyesal’

LAMA bibirnya terkunci meskipun soalan sudah bertalu-talu ditanya. Di sebalik senyuman yang terukir dan riak wajah yang dipamerkan, jauh dalam sanubarinya tersembunyi perasaan kecewa dan pedih akan luka yang belum sembuh sepenuhnya.

Namun memikirkan akan status selebriti yang dipikul, Siti Nursaida Tarudin atau Saida, akur untuk menyusun bicara menjawab apa saja persoalan diajukan. Bagaimanapun bisiknya merendah diri, usah lagi diungkit kisah kelam perkahwinannya yang kini masih lagi dibicara di mahkamah.

Bukan kerana malu atau bimbang kisah ini akan meleret sebaliknya kakak kepada penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza juga bintang Akademi Fantasia musim keenam (AF6), hanya inginkan ketenangan buat dirinya serta anak-anak yang sedang membesar.

Ibu empat anak ini mengakui, begitu pedih menanggung segala-galanya tetapi biar sekuat mana dugaan datang menghimpit, keutamaannya adalah empat anak kesayangan, Siti Nurunnyssa, 14, Anas, 12, Khalid, 8, dan Siti Nurul Mashitah, 5.


“Saya tidak mahu toleh ke belakang dan terus terperangkap lagi kerana apa yang berlaku adalah satu keputusan nekad yang sudah saya fikirkan. Ini bukan perkara kecil atau benda main-main sebaliknya ini satu fasa yang paling memeritkan dalam hidup saya kerana terpaksa berdepan dengan semua perasaan sedih ini.


“Lantas biarlah saya seorang saja yang menanggung rasa ini dan jangan sekali-sekali membabitkan anak-anak saya pula ke kancah yang sama. Mereka masih kecil dan Alhamdulillah masing-masing memahami apa yang berlaku. Saya sendiri kalau boleh, tidak mahu masalah kami hingga mengganggu fokus anak-anak terutamanya dalam aspek pelajaran.

“Setakat ini saya tidak mahu lagi memberi sebarang kenyataan atau komen terhadap apa saja persoalan mengenai perkara ini kerana biarlah pihak mahkamah yang menentukan dan takdir yang akan bersuara nanti,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran Duta Bufet Ramadan Restoran Istana Bambu, baru-baru ini.

Saida mengakui tidak lagi tinggal sebumbung dengan suami, Mohd Ghazali Yahya Zikri, 40 yang dikahwini 15 tahun lalu dan Ramadan serta Aidilfitri tahun ini disambut tanpa suami di sisi. Apapun, Saida lebih cenderung bercerita soal anak-anak yang kini kian bahagia dan menerima hakikat perpisahan ibu bapanya.

Mengakui akan berdepan pengalaman baru apabila melalui ibadat puasa tanpa suami dan seterusnya menyambut Aidilfitri dalam suasana berbeza, Saida bagaimanapun reda dan akur dengan ketentuan yang tersurat.

“Saya percaya apa yang berlaku pasti ada hikmahnya dan biarlah semua ini dijadikan satu pengajaran dan pengalaman yang boleh mendewasakan. Bohong jika saya katakan semua tidak meninggalkan apa-apa, namun sebagai seorang wanita dan ibu, saya tidak boleh terus merintih sedih kerana apa yang lebih menjadi keutamaan adalah keadaan anak-anak agar mereka terus gembira.

“Persediaan Aidilfitri tahun ini pastinya berbeza namun semua itu tidak sekelumit menjadi masalah kepada saya kerana Alhamdulillah saya punya keluarga dan teman-teman yang tidak henti menyokong.

“Justeru, saya akan memastikan semuanya berjalan lancar dan anak-anak tidak akan berasa berbeza berbanding tahun sebelumnya. Saya akan tetap mencari masa untuk membeli-belah buat anak-anak sempena Aidilfitri nanti. Maklumlah semuanya sudah besar dan pandai memilih pakaian masing-masing.

“Saya hanya mengikut saja kehendak mereka asalkan tidak membazir dan memang menjadi keperluan mereka. Tema untuk baju raya masih belum sempat saya fikirkan namun yang pasti, saya dan anak-anak akan tetap mencari baju raya sedondon nanti.

“Jika mengikut perancangan, memang saya dan anak-anak akan beraya bersama tahun ini di kampung di Kuala Lipis, Pahang. Kami akan beraya bersama adik-beradik dan sanak-saudara seperti tahun-tahun sebelumnya. Malah Siti (Siti Nurhaliza) juga akan beraya bersama kami tahun ini.

“Pastinya Aidilfitri akan meriah seperti biasa dan apa yang lebih penting adalah keberkatan daripadanya,” katanya.

Harian Metro