‘Saya Mahu Jumpa Siti Nurhaliza’

Nasional

‘Saya mahu jumpa Siti Nurhaliza’
Oleh Betty Subaryati
bhnews@bharian.com.my
2011/03/26
SUHAIDA menunjukkan poster Siti Nurhaliza yang dikumpulnya ketika ditemui di rumahnya di Kota Bharu, semalam.
SUHAIDA menunjukkan poster Siti Nurhaliza yang dikumpulnya ketika ditemui di rumahnya di Kota Bharu, semalam.
Gadis lembam, tak lancar bertutur hafal semua lagu penyanyi kesayangan

KOTA BHARU: “Saya hendak jumpa Siti Nurhaliza (Datuk Siti Nurhaliza Taruddin). Dia comel dan suaranya sedap,” kata gadis lembam, Suhaida Hassan, 27, bercerita mengenai hasratnya bertentang mata dengan penyanyi kesayangannya itu.
Suhaida yang diserang demam panas ketika berusia setahun hingga menjejaskan tumbesarannya berkata, beliau amat meminati Siti Nurhaliza dan menghafal semua lagu dendangan penyanyi popular itu, biarpun tidak boleh membaca.
“Saya juga menyimpan keratan akhbar dan album Siti Nurhaliza. Saya akan simpan (koleksi) ini sampai bila-bila,” katanya yang tidak lancar bertutur ketika ditemui di rumahnya di Kampung Banggol Nangka, Meranti, dekat sini, semalam.

Ketika ditemubual, Suhaida menunjukkan koleksi album Siti Nurhaliza seperti Siti Nurhaliza In Concert Royal Albert Hall London; Siti Best; Hadiah dari Hati; Biarlah Rahsia dan album duet bersama artis Indonesia, Kris Dayanti yang disimpannya dengan baik.

Selain itu, keratan akhbar dan majalah yang memaparkan Siti Nurhaliza juga dimiliki Suhaida.

Ibu Suhaida, Siti Zarahah Abd Rahman, 65, berkata, Suhaida yang juga anak bongsu daripada sembilan beradik tidak mampu berdikari selepas mengalami demam panas ketika berusia setahun.

Siti Zaharah berkata, Suhaida pernah memasuki sekolah pendidikan khas ketika berusia enam tahun, namun anaknya itu tidak bertahan lama di sekolah berkenaan.

“Ketika usianya 13 tahun, saya pernah membawanya mendaftar sebagai pelajar sekolah menengah pendidikan khas. Itupun hanya bertahan beberapa bulan sebelum dia tidak mahu pergi kelas.

“Saya tidak memaksanya belajar di sekolah khas, Suhaida diajar oleh abang dan kakaknya. Namun, apa yang saya lihat, Suhaida hanya menunjukkan minat terhadap majalah hiburan dan surat khabar atau menonton televisyen jika ada program hi-buran membabitkan penyanyi kesayangannya, Siti Nurhaliza,” katanya.

Siti Zaharah berkata, Suhaida mula mengumpul mengumpul keratan akhbar dan majalah serta membeli semua cakera padat (CD) Siti Nurhaliza sejak berusia remaja.

Berita Harian