Saya bukan perampas: Siti

Oleh Farihad Shalla Mahmud

Penyanyi mohon maaf jika guris perasaan Tengku Zawyah

PETALING JAYA: Penyanyi popular, Siti Nurhaliza Tarudin, memohon maaf kepada bekas isteri Datuk Khalid Mohamad Jiwa, Tengku Zawyah Tengku Izham, jika dia mengguris perasaan wanita itu.

16ct.jpg

PASANGAN BAHAGIA: Khalid
di samping
Siti Nurhaliza

Siti Nurhaliza berkata, dia tidak berniat melukakan hati bekas isteri Khalid itu ketika menjawab pertanyaan wartawan bagaimana dia menerima kehadiran anak pasangan berkenaan pada sidang media mengumumkan rancangan perkahwinan mereka, bulan lalu.

“Siti dengan rendah hati ingin memohon maaf jika apa yang dilaporkan mengguris hati beliau. Siti tidak berniat berkata demikian kerana dalam situasi sidang media itu, Siti terpaksa menjawab seringkas boleh.

“Mungkin jawapan Siti tidak dihuraikan dengan baik maka berlaku salah faham. Siti tidak berniat langsung untuk mengambil alih tugas menjadi ibu kerana saya tahu ibu mereka masih ada.

“Saya juga bukan perampas suami orang,” katanya pada sesi ramah mesra dengan media yang berlangsung di Seri Pentas, Bandar Utama di sini, semalam. Khalid turut hadir pada majlis itu.

Pada sidang media bulan lalu, Siti turut menjawab beliau bersedia menjadi ibu yang baik untuk empat anak Khalid dan Tengku Zawyah.

Akhbar semalam melaporkan, Tengku Zawyah berkata: “Biarlah orang mengguris hati saya, tapi saya tak tergamak mengguris hati orang. Saya hanya mahu menjaga hati anak saya.”

Siti Nurhaliza berkata, sejak berita perkahwinannya dengan Khalid timbul, dia sudah mengagak gelaran ‘perampas suami orang’ akan diberikan kepadanya walaupun mendakwa dia bukan punca perceraian pasangan berkenaan.

“Dikatakan perampas memang menyakitkan saya sedangkan perkara sebenarnya adalah sesuatu yang berlainan. Siti memang sudah menjangka akan dilabel demikian tetapi apa daya melawannya,” katanya.

Siti Nurhaliza berkata, dia memang sengaja mendiamkan diri ketika isu itu hangat diperkatakan kerana tidak mahu ia menjadi isu besar dan hanya bersabar dan enggan berlawan cakap mengenainya.

“Apa orang nak cakap, cakaplah. Siti terima saja kerana Siti percaya, apabila tiba masanya nanti kebenaran akan terbukti juga,” katanya sambil menegaskan sukar berfikir semasak-masaknya sebelum memutuskan untuk berkahwin dengan Khalid.

“Apa yang Siti harapkan ketika ini adalah doa agar hubungan ini berkekalan hingga ke akhirnya,” kata Siti yang mengaku dia memang mengenali Tengku Zawyah, malah pernah makan bersama.

“Siti akui ada berjumpa dengannya beberapa kali tapi nak kata rapat, tak juga. Kami tak pernah berbual mengenai perkara peribadi. Cuma setakat kenal dan pernah makan bersama. Taklah rapat sangat,” katanya.

Sementara itu, Khalid berkata, perceraiannya tiada kena-mengena dengan Siti Nurhaliza dan meminta semua pihak tidak menuduh penyanyi itu menjadi punca kemusnahan rumah tangganya sebelum ini.

“Dengan nama Allah saya katakan di sini bahawa hubungan saya dengan Siti adalah selepas berlakunya perceraian saya dengan isteri saya. Perceraian saya dengan isteri saya tidak ada kena mengena langsung dengan Siti,” katanya.