SAM Kesal Kembara 1Malaysia Disalah Tafsir

JOHOR BAHRU 21 Sept. – Persatuan Superbikers Malaysia (SAM) kesal dengan kenyataan sesetengah pihak yang menyifatkan Kembara 1Malaysia mengelilingi seluruh Semenanjung sebagai program yang tidak bermakna dan sekadar untuk berseronok.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kembara anjuran SAM yang disertai 400 peserta melibatkan 254 motosikal merupakan salah satu program khusus untuk para penunggang motosikal berkuasa besar bagi menunjukkan semangat cintakan negara sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-54.

Beliau berkata, para peserta kembara itu turut menyumbangkan lembu kepada kem-kem tentera yang akan disembelih sempena Hari Raya Aidiladha nanti manakala syarikat Naza Group menyumbangkan motosikal untuk pasukan keselamatan itu.

“Siapa kata kami pergi untuk berseronok? Para peserta terpaksa meninggalkan kerja dan keluarga bagi menjayakan program ini dan mereka tidak diberikan sebarang elaun. Ini cara bikers menunjukkan kecintaan kepada negara.

“Mereka (pengkritik) hanya tahu mengkritik tetapi belum tentu mereka mampu melaksanakan program yang kami lakukan ini,” katanya semasa berucap pada majlis sambutan ketibaan konvoi berkenaan di Stadium Perbandaran Pasir Gudang di sini hari ini.

Ketibaan konvoi yang diketuai Ahmad Zahid dan turut disertai Presiden SAM, Datuk Abdul Halim Suleiman di stadium berkenaan disambut oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), On Jabar.

Konvoi yang turut disertai artis terkemuka iaitu Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa bermula 16 September lalu akan tamat di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak, Kuala Lumpur esok.

Utusan