Saida Mencemburui Siti?

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED metra.mohamed@utusan.com.my

MEMILIKI wajah yang cantik, Saida ingin mencuba nasib sebagai pelakon seandainya mendapat tunjuk ajar.

UMUMNYA masyarakat di negara ini tahu, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 29, sememangnya merupakan penyanyi nombor satu negara.

Kedudukan yang dikecapi anak jati Kuala Lipis, Pahang itu bagaikan sukar digugat biarpun ramai artis baru muncul menghangatkan industri hiburan tanah air.

Dengan kejayaan demi kejayaan termasuk anugerah yang diterima Siti Nurhaliza, ia sudah pasti membuatkan sesiapa sahaja ‘makan hati’ atau berasa cemburu.

Tidak terkecuali, empunya diri bernama Siti Norsaida Tarudin, 32, pelajar Akademi Fantasia musim keenam (AF6) turut dikatakan menyimpan perasaan tersebut terhadap penyanyi tersohor berkenaan.

Lantaran itu, Siti Norsaida atau lebih mesra dengan panggilan Saida bertindak menyertai AF6 bagi mengecap populariti yang mampu menandingi kehebatan Siti Nurhaliza.

Bagaimanapun, Saida yang baru sahaja tersingkir daripada meneruskan perjuangan di AF6 Sabtu lalu, bertegas menafikan segala dakwaan itu.

Menurut Saida, perasaan cemburu atau niat untuk menyaingi Siti Nurhaliza tidak pernah ‘bersarang’ dalam hatinya.

Sebaliknya, dia sangat berbangga dengan pencapaian adik kandungnya itu.

“Memang tidak ada niat langsung. Siti Nurhaliza adalah seorang penyanyi yang berpengalaman. Kalau ada orang kata saya memasuki AF6 semata-mata untuk bersaing dengannya, itu tidak benar.

“Lagipun, pada awalnya memang saya tidak mempunyai perancangan untuk menyertai program realiti televisyen berkenaan walaupun saya suka menyanyi,” katanya ketika ditemui di Astro, Bukit Jalil, baru-baru ini.

Ujar Saida, penyertaannya dalam AF6 berlaku secara tidak sengaja bermula apabila dia hanya menemani seorang lagi adiknya, Siti Saerah menjalani uji bakat.

“Ketika menemani Saerah, peserta yang ingin mencuba nasib pada waktu itu terlalu ramai sehingga kami terpaksa menunggu lama.

“Ekoran itu, dia menyuruh saya mengikutinya sekali menjalani sesi tersebut dan entah bagaimana, tanpa disangka saya diterima memasuki AF6 dan Saerah tidak dipilih.

“Siti ketika itu tidak tahu saya masuk uji bakat. Sampailah ke peringkat keempat, baru saya beritahu dia,” ujar Saida sambil menambah Siti Nurhaliza merupakan orang yang paling gembira saat mengetahui dia diterima memasuki AF6.

Sementara itu, ketika menjawab persoalan mengenai cakap-cakap orang yang membeza-bezakan kemampuan vokalnya dengan Siti Nurhaliza, Saida memberitahu bahawa ada ketikanya, dia berkecil hati kerana perbandingan sedemikian dibuat.

“Saya dan Siti memang jauh beza. Biarlah apa orang hendak kata. Apa yang penting, saya tidak sedikit pun tertekan,” jelas ibu kepada empat orang anak iaitu Siti Nurunnyssa (11), Anas (9), Khalid (5), dan Siti Nurul Mashitah (2).

Penyingkiran Saida

Menyentuh mengenai penyingkirannya dalam meneruskan perjuangan di AF6, Saida juga dikatakan sengaja menyanyi teruk dengan harapan disingkirkan awal bagi membolehkannya dapat kembali ke pangkuan keluarga.

Menjawab mengenai hal tersebut, Saida yang sudah bersedia menghadapi apa juga bentuk gosip sebaik bergelar penyanyi nanti mengakui, dia gembira dapat berjumpa dengan keluarganya.

“Tetapi, dalam masa yang sama, saya sedih meninggalkan semua yang berada di AF. Sedih juga tidak dapat habiskan pembelajaran di sana. Kalau orang kata saya sengaja menyanyi dengan teruk, mereka tidak faham apa yang saya lalui sepanjang berentap dalam AF6.

“Saya akui yang saya adalah seorang pemalu. Ditambah dengan perasaan gementar dan takut, itu semua membuatkan saya susah untuk menyanyi dengan baik,” katanya.

Sungguhpun begitu, Saida mengakui, kini dia semakin berani dan mempunyai tahap keyakinan diri yang lebih baik jika dibandingkan sebelum menyertai program realiti TV tersebut.

Suami bagi ‘lampu hijau’

Sebaik tersingkir daripada meneruskan perjuangan di konsert AF6 minggu kelima, Saida sudah pun berbincang sesuatu dengan suami tercinta, Mohd. Ghazali Yahya Zikri, 39, berhubung kelangsungan kariernya sebagai penyanyi.

Dengan syarat tidak melupakan tanggungjawab menjaga keluarga, Saida diberi ‘lampu hijau’ jika mahu meneruskan hasrat menceburkan diri dalam dunia seni.

Saida berkata, selain menyanyi, dia turut berminat untuk menceburkan diri dalam dunia lakonan andai diberi peluang dan tunjuk ajar.

Bernaung di bawah SNP?

Bertugas sebagai Pengurus Kewangan di syarikat milik adiknya, Siti Nurhaliza Production (SNP), Saida berkemungkinan diberikan laluan mudah untuk menjadi artis dan bernaung di bawah syarikat terbabit.

Namun, Saida memberitahu dia akan terikat dengan Maestro Talents terlebih dahulu dan belum mengadakan sebarang perbincangan bersama SNP.

Ditanya mengenai perancangannya untuk berduet dengan Siti Nurhaliza, Saida yang meminati genre balada dan pop rock berkata: “Mungkin. Itu pun jika diberikan peluang”.

Powered by Utusan Malaysia