Saida Dedah Kenapa Selalu Menangis

Teks & Foto: Razif Rosdi

Bukan mudah untuk menjadi kakak kepada penyanyi handalan Dato’ Siti Nurhaliza. Itulah tanggungjawab berat yang terpaksa digalas bekas pelajar Akademi Fantasia 6 (AF6), Siti Nursaida Tarudin, 32, atau Saida yang tersingkir pada konsert ke-5, Sabtu lalu.

Walaupun berbekalkan bakat dan imej yang berbeza dengan Siti, Saida yang lebih mesra panggilan Ida, tetap dibandingkan dengan penyanyi tersebut. Perbandingan ini sedikit sebanyak memberi tekanan kepadanya untuk meneruskan perjuangan dalam AF6.

Ketika singgah di pejabat murai.com.my, baru-baru ini, Saida meluahkan rasa hatinya…

“Ida dan Siti adalah dua individu yang berbeza. Walaupun kami adik-beradik, bukan bermakna Ida boleh buat apa yang Siti buat. Mengenai persembahan yang tak konsiten itu bukanlah salah sesiapa tetapi salah Ida sendiri kerana tidak dapat mengawal perasaan takut dan malu.

“Malah, Ida rasa Ida terkena badi fobia pentas. Ida masih lagi lemah, insya-Allah Ida akan cuba belajar daripada Siti sendiri,” ujarnya.

Yang nyata, gelagat Saida dalam diari AF6 sentiasa mendapat perhatian penonton lebih-lebih lagi sikapnya yang suka menitiskan air mata tanpa diketahui sebabnya. Tangisan ini juga sering berlaku apabila Saida mendengar lagu berentak sedih dan slow. Buktinya, Saida turut menangis sewaktu Stanly mendendangkan lagu Umi nyanyian asal Datuk Shake.

Akhirnya Saida mendedahkan sebab kenapa dia selalu menangis. Dia sebenarnya amat merindui 4 anaknya iaitu Siti Nurul Nyssa, 11; Anas, 9; Khalid, 5; dan Siti Nurul Mashita, 2, selain suami tersayang, Mohd Ghazali Zikri Yahya, 39,

“Ida nangis bukan sebab tension. Sebenarnya, Ida rindukan anak-anak dan suami. Sebelum ini, Ida jarang berpisah dengan anak-anak dalam tempoh yang begitu panjang. Suami Ida ada juga out station tapi Ida tidak pernah berjauhan daripada anak-anak.

“Ida memang seorang yang sangat sensitif lebih-lebih lagi kalau mendengar lagu sedih. Sewaktu Stanly nyanyi, Ida sebak kerana Ida juga ibu dan mempunyai ibu mentua yang sakit sama seperti ibu Stanly.

“Apapun, Ida terkilan sebab tak dapat teruskan perjuangan dalam AF6. Apatah lagi, Ida tak dapat teruskan harapan semua penyokong dan sanak keluarga,” jelas Saida yang begitu teringin mendendangkan lagu Azlina Aziz, Mencari Mimpi.


Suami sedia bantu kerjaya artis Saida

Hakikatnya, Saida kini sentiasa ditemani suaminya sendiri, Ghazali. Kenapa Ghazali?

Sebabnya, Ghazalilah yang akan membantu Saida dalam menguruskan jadualnya sebagai artis kelak. Difahamkan, Saida akan terikat selama 6 bulan dengan Maestro Talent & Management.

Walau pun berjiwa lembut, Saida sebenarnya lasak kerana suka bermain futsal. Dia juga pernah aktif menjadi pemain hoki dan bola jaring. Jadi, jika kelapangan, Saidaakan turun ke gelanggang futsal.

Ditanya apakah perancangan selepas ini, Saida terus mencelah mahu fokus pada nyanyian berbanding lakonan atau pun pengacaraan. Malah dia turut menyimpan hasrat berduet dengan Siti jika berpeluang.

“Selepas 2 hari pergi uji bakat AF6, barulah Ida beritahu Siti. Sebagai adik, Siti cuma nasihatkan Ida agar bertanya kepada suami Ida dulu mengenai penyertaan itu.

“Jadi, sampai 3 kali Ida bertanya kepada Abang Ghazali dan meminta izin dan pendapatnya. Syukurlah, dia dan keluarga izinkan dan pesan agar buat betul-betul.

Apakah yang menyeronokkan dalam AF6?

“Ida rindu sangat kelas tarian. Dulu, Ida tak tahu menari langsung, tapi selepas mengikuti kelas tarian Ida sudah tahu menari sikit. Malu Ida ni pun sikit-sikit dah hilang,” katanya .

Bagaimana pula tuduhan mengatakan Saida diberi layanan kelas istimewa dalam AF6 berbanding pelajar lain kerana dia kakak Dato’ Siti?

“Masa mula-mula Ida masuk AF, Ida perasan ada pelajar takut-takut nak dekat dengan Ida. Mungkin mereka ingat Ida ni kekwat sebab Ida kakak Siti. Lama-kelamaan barulah semua faham benda itu semua tak betul. Yang penting, bila tengok Alif , ia mengingatkan Ida kepada adik lelaki Ida iaitu Ali. Perangai manja Naim pula macam sorang lagi adik Ida iaitu Hafiz. Jadi rasa macam keluarga pula.

“Bagi Ida layanan dalam AF6 sama rata saja,” ujarnya.


Mana datangnya tagline – Oke La Tuu… ?

Hari ini tagline Saida semakin popular. Malah, Ida sendiri akui terkejut apabila anak bongsunya sudah pandai mengikut gayanya dalam AF6.

“Kalau nak tahu, suami Ida yang bagi tagline tu. Dia dan kawannya rasa, tagline tu sesuai sangat dengan Ida. Lenggok gaya bulatan itu pula, Stanly yang cadangkan! Lama-lama, Ida pun seronok dengar orang lain ikut cakap Oke La Tu…

Menjawab soalan siapa calon juara AF6 pilihannya, Saida berkata: “Selepas 5 minggu bersama, Ida tengok Stacy boleh jadi juara. Persembahan Stacy setiap minggu paling ketara bagus. Macam mana pun, persembahan Nadia pun menonjol juga. Kalau lelaki, Rizlah, dia pun not bad,” jelasnya.

Apa yang nyata, seperti pelajar AF6 lain, Saida turut melawat pejabat murai.com.my dan menjawab beberapa komen di blog kelab peminatnya. Paling menarik, ada di antara ahli FC Saida itu datang dari peminat Dato’ Siti juga.


Murai