Rupa Bukan Syarat Utama


AZMARUL antara peserta Vokal berbadan gempal yang ditampilkan menerusi pertandingan anjuran TV3.

STESEN televisyen terutamanya swasta melakukan apa sahaja untuk menarik perhatian para penonton menyaksikan saluran mereka. Antaranya dengan menganjurkan pertandingan-pertandingan nyanyian atau realiti yang menampilkan pelbagai konsep rancangan hiburan.

Salah satu daya tarikan setiap peserta yang ditampilkan dalam pertandingan mencungkil bakat-bakat penyanyi atau pelakon baru itu mestilah berwajah cantik. Itu adalah antara kriteria paling penting walaupun syarat itu tidak dinyatakan secara khusus pada sesi-sesi uji bakat yang diadakan.

Sebab itu, selama ini ramai peserta yang dirasakan wajah mereka tidak komersial, apatah lagi berbadan gemuk tidak berpeluang menyertai mana-mana pertandingan mencari bakat baru.

Golongan itu sejak dari dulu sentiasa disisihkan. Biarpun vokal mereka hebat jangan harap akan terpilih dalam mana-mana pertandingan nyanyian. Itu adalah hakikat dalam dunia hiburan di negara ini yang sukar diubah.

Jika daripada 1,000 peserta yang datang sesi ujibakat, untuk seorang peserta gemuk atau berwajah hodoh tetapi amat berbakat terpilih pun payah. Bagaimanapun, menampilkan para peserta yang berwajah cantik tetapi vokal yang tidak seberapa adalah perkara biasa di mana-mana juga.

Justeru, tidak hairanlah TV3 mengejutkan industri hiburan tempatan apabila menganjurkan pertandingan nyanyian yang diberi nama Vokal. Difahamkan pertandingan ini tidak memandang paras rupa atau bentuk badan para pesertanya yang bertanding.

Tambah menarik apabila tagline pertandingan itu berbunyi Bukan Sekadar Rupa. Rata-rata peserta yang menyertai Vokal dikatakan kurang glamor. Kebanyakan mereka adalah peserta yang gagal dalam banyak sesi uji bakat pertandingan nyanyian kerana sifat peribadi mereka.

Para peserta Vokal musim pertama yang kini sedang bertanding dalam rancangan itu memang mempunyai mutu vokal yang sangat mantap. Ternyata suara yang dimiliki tidak sepadan dengan rupa paras mereka.

Ekoran itu, di awal rancangan pada minggu pertama Vokal, setiap peserta yang muncul diminta menyanyi di belakang tabir sambil suara mereka diadili oleh para juri dan pengkritik. Datuk Siti Nurhaliza yang pernah menjadi juri jemputan dalam Vokal juga kagum dengan bakat ramai peserta terbabit.

Hampir lingkup

Namun, persoalannya mengapa baru sekarang? Di laman sosial seperti Twitter dan Facebook ramai peminat bidang nyanyian memperkatakan perkara itu. Salah seorang daripada mereka menulis dengan penuh sinis berbunyi ‘selepas industri muzik di Malaysia hampir lingkup barulah ada idea yang macam ini.’

Mungkin ada benarnya kata-kata seperti itu. Ketika ini, industri muzik tempatan jatuh dengan teruk daripada segi jualan album secara fizikal iaitu dalam bentuk cakera padat. Itu adalah hakikat yang berlaku ke atas penyanyi dan syarikat rakaman di negara ini.

Sedangkan penyanyi nombor satu negara seperti Siti Nurhaliza pun misalnya, cuma sekadar mencetak album Inggerisnya yang pertama All Your Love sekitar 5,000 unit sahaja. Kalau dulu cetakan pertama setiap album barunya berkali-kali ganda daripada jumlah tersebut.

Semua itu ada kaitannya dengan persepsi dan kepercayaan para peminat seni suara dan muzik di negara ini terhadap mutu suara, keaslian muzik dan kredibiliti penyanyi-penyanyi yang kebanyakannya dilahirkan daripada program-program realiti televisyen sejak sembilan tahun kebelakangan ini.

Senario itu berbeza dengan era tahun 1970-an dan 1980-an di mana kebanyakan pertandingan nyanyian atau syarikat rakaman lebih mengutamakan bakat suara para peserta atau penyanyi yang hendak merakamkan album berbanding rupa paras semata-mata.

Jika tidak jangankan berbadan gempal, malah penyanyi buta seperti S. Jibeng juga tentunya tidak berpeluang merakamkan album pada tahun 1960-an jika bukan kerana bakat dan suara yang dimilikinya itu.

Selepas ini mungkin banyak lagi stesen televisyen atau penganjur pertandingan nyanyian dan lakonan yang mengikut jejak langkah ini. Pertandingan mencungkil bakat pelakon baru seperti Pilih Kasih yang diterbitkan oleh Rosyam Nor juga sepatutnya tidak terkecuali dalam hal itu.

Sudah sampailah masanya bidang hiburan di negara ini meningkatkan tahap kualitinya dengan tidak bersandarkan rupa paras semata-mata. Idea dan pengajaran yang dicetuskan oleh pertandingan Vokal itu seharusnya diaplikasikan dalam semua bidang seni.

Jika tidak bidang lakonan dan nyanyian tempatan hanya akan terus melahirkan bakat-bakat pelapis yang glamor semata-mata. Sedangkan golongan ini mungkin cuma mampu bertahan sekejap kerana tidak berteraskan bakat seni sebenar yang sepadan dengan rupa dan populariti mereka.

Utusan