‘Rumah tangga selamat kalau isteri taat suami’

Oleh Farihad Shalla Mahmud

Siti Nurhaliza, Datuk K masih dalam proses kenali hati budi masing-masing

MAHLIGAI yang dibina penyanyi popular, Datuk Siti Nurhaliza bakal menghampiri usia setahun menjelang Ogos ini. Nyata begitu cepat masa berlalu. Terasa bagaikan baru semalam melihat Siti dan suami tercinta, Datuk Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K disandingkan dalam suasana yang begitu meriah sehingga perkahwinan mereka itu dilabelkan sebagai Wedding Of The Year.

Kini, selepas sepuluh bulan bergelar suami isteri, Siti dan Khalid masih menikmati musim bulan madu mereka. Ke mana saja berdua dan Khalid sendiri, jika tidak sibuk dengan urusan perniagaan, pasti akan menemani isteri tersayang menghadiri majlis rasmi ataupun persembahan yang membabitkan isterinya itu.

Namun, sama seperti pasangan lain yang melayari kehidupan alam berumah tangga, tidak semuanya manis belaka. Bukanlah namanya perkahwinan andai semua yang dilalui indah belaka. Ada kalanya, dugaan serta ujian datang bertimpa-timpa.

Tetapi, menurut Siti, sekiranya itu yang terjadi, adalah menjadi tanggungjawab pasangan suami isteri itu sendiri untuk belajar bertolak ansur supaya segala masalah dapat diatasi bersama.

“Siti akui bukan mudah untuk melayari kehidupan berumahtangga. Banyak cabaran dan dugaan mendatang yang terpaksa saya tempuhi.

“Jadi, dalam hal ini, kita kena selalu banyak bersabar. Siti sedar, apabila sudah bergelar isteri, Siti perlu melalui fasa baru kehidupan yang tidak sama dengan ketika zaman anak dara dulu. Sekarang apa juga yang dilakukan, suami menjadi keutamaan Siti.

“Lagi satu, keserasian itu penting. Siti dan suami sendiri berusaha untuk memahami dan mengenali diri masing-masing. Alhamdulillah, kami dapat melalui proses itu secara berdikit,” jelas Siti ketika ditemui selepas majlis ulang tahun ke-33 Lord’s Tailor dan sambutan Hari Bapa yang diadakan di Hotel Ritz Carlton, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah penyanyi jelita ini, perkara yang menjadi kata kunci dalam membina kerukunan rumah tangga mereka adalah taat dan saling hormat menghormati.

“Siti percaya, dalam sesuatu perhubungan, kalau kita sentiasa taat pada suami dan saling percaya mempercayai antara satu sama lain dan sentiasa berdoa, Insya-Allah, rumah tangga kita akan selamat,” kata Siti positif.

Mengenai perancangannya untuk menyambut ulang tahun pertama perkahwinannya itu, Siti hanya ketawa sambil mengangkat bahu seraya menjelaskan perkara itu masih belum difikirkan lagi.

“Saya sendiri tidak pasti apakah akan ada rancangan untuk bercuti atau tidak. Tapi biarlah ia menjadi tanda tanya buat anda semua,” jelas Siti separuh berahsia. Bagaimanapun, difahamkan pasangan ini akan bercuti ke Venice bagi meraikan hari bersejarah itu.

Dalam pertemuan petang itu, Siti juga mengakui dia kini sudah lali dengan pertanyaan yang acap kali diajukan padanya sejak kebelakangan ini iaitu perihal cahaya mata.

“Kalau dulu Siti rasa tertekan juga apabila orang asyik tanya bila hendak menimang cahaya mata tapi kini Siti sudah boleh terima. Lagipun, bukan Siti juga saja yang mengharapkan kehadiran cahaya mata tetapi ada juga pasangan lain yang terpaksa menunggu 6 hingga 7 tahun untuk dikurniakan zuriat.

“Siapa yang tidak menginginkan anak dalam kehidupan mereka. Siti percaya kepada rezeki. Tapi dalam pada itu, Siti ada juga berjumpa dengan pakar. Dan ketika Siti mengerjakan umrah baru-baru ini, Siti tidak lupa berdoa moga hajat untuk menimang cahaya tercapai,” tutur penyanyi yang cukup popular dengan lagu Biarlah Rahsia ini.

Pada majlis yang penuh glamor itu, selain diberi penghormatan memakai sut pertama untuk golongan wanita keluaran butik terbabit iaitu Power Suit For Power Woman, Siti turut membuat persembahan menghiburkan tetamu dengan rangkaian lagu pilihannya seperti Aku Cinta Padamu, Can’t Takes My Eyes Of You dan lagu medley – Teman Tapi Mesra (Ratu), Pupus (Dewa) dan Pudar (Rossa) di mana Siti menjemput wartawan menyanyi bersamanya.

Sekadar menunaikan hajat yang sekian lama terpendam, Siti mengambil kesempatan untuk berduet dengan Ziana menyanyikan lagu Hanya Memuji yang pernah dipopularkan Shanty dan Marcel.

Selain kehadiran Siti, majlis yang julung kali diadakan itu juga mengundang 16 selebriti dan artis terkenal tanah air menggayakan sut rekaan terkini butik itu. Mereka yang bertuah ialah pelakon Fahrin Ahmad, Farid Kamil, Arash Mohamad, Ashraf Sinclair, Awal, Vince, Rashidi Ishak, Mohd Aman Zakaria, Dafi AF5 , Ebi AF5, Shawal AF5, Steve Yap, Alan Yun, John Wong, Dylan Liong dan Andrew Tan.