Rossa doakan Siti cepat hamil

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

“MEMANG jawapan kepada soalan ini yang anda semua tunggu-tunggu, bukan?” soal Datuk Siti Nurhaliza Taruddin kembali kepada wartawan apabila ditanya sama ada dia sudah berbadan dua atau belum.

Sambil tersenyum mesra, penyanyi wanita paling popular tanah air ini sekali lagi menyatakan, dia belum lagi diberikan rezeki untuk hamil anak pertama hasil perkongsian hidup bersama Datuk Khalid Mohd Jiwa, yang menjadi suaminya sejak Ogos tahun lalu.

22rossa.jpg

RAKAN KARIB: Siti Nurhaliza
dan Rossa pada majlis
pelancaran jenama Mandalay
di Carcosa Seri Negara.

Soalnya lagi, apakah dia sudah kelihatan seperti ibu mengandung, apabila wartawan mengajukan soalan berkenaan kepadanya. Penyanyi terkemuka Indonesia, Rossa, yang berada di sebelahnya segera memegang perut sendiri, lalu diletakkan kemudian di perut Siti seperti memberikan restu untuk wanita jelita itu hamil cahaya mata pertama.

Tentu saja soalan begitu akan diterima Siti setiap kali dia berdepan wartawan. Maklum saja, sekian ramai peminat yang tidak sabar untuk mendengar khabar gembira daripada pasangan popular ini. Hampir setahun bernikah, peminat tentunya ingin melihat pula kehadiran anggota ketiga dalam keluarga bahagia Siti bersama Datuk K.

Namun, pada majlis pelancaran jenama baru Rafflesia, Mandalay, di Carcosa Seri Negara, baru-baru ini, tidak banyak topik mengenai kehamilan dibicarakan Siti. Mungkin kerana waktu yang tidak mengizinkan. Bagaimanapun, sebelum itu Siti rancak bercerita mengenai perkembangan terbaru dunia muziknya.

“Sekarang Siti dalam proses mengumpulkan lagu untuk dimuatkan dalam album terbaru, berkonsepkan irama tradisional serta world music. Album ini sekali lagi diterbitkan syarikat Siti sendiri, Siti Nurhaliza Productions,” kata Siti yang turut berduet dengan Rossa menerusi lagu Aku Bukan Untukmu, pada majlis yang turut meraikan ulang tahun ke-16 perkahwinan pemilik Mandalay, Winnie Sin dan Sin Chean Long.

Antara komposer yang terbabit menjayakan album itu nanti ialah Pak Ngah Suhaimi dan Katon. Siti juga ada meminta lagu daripada komposer terkenal, S Atan, Yasin dan Ayob Ibrahim, pencipta yang pernah menjuarai kategori Irama Malaysia dan Etnik Kreatif pada Anugerah Juara Lagu ke-21, menerusi lagu Warkah Buat Laila.

“Jika diizinkan Tuhan Siti akan mula masuk studio untuk proses rakaman pada bulan Julai. Pasarannya pula mungkin pada November depan,” kata Siti mengenai album yang sekali lagi akan turut dipasarkan di Indonesia.

Sebelum ini, Siti pernah menghasilkan album berkonsep irama tradisional, sama ada secara sendirian mahupun bersama penyanyi lain. Album berkenaan ialah Seri Balas (bersama Noraniza Idris), Cindai, Sahmura dan Sanggar Mustika. Namun, album baru nanti bukannya memuatkan irama tradisional sepenuhnya, kata Siti.

Selain itu, penyanyi jelita ini juga baru saja menyambung kontrak bersama jenama syampu Pantene buat tahun kedua.