Remaja Kurus Sukar Cari Gaun Malam



Prinsip utama untuk kelihatan bergaya ketika berpakaian adalah keyakinan diri

Soalan
Saya berusia 19 tahun, ketinggian 162 sentimeter dan berkulit sawo matang. Saya mempunyai masalah mencari gaun malam sesuai kerana saya tidak suka memakai pakaian mendedahkan tubuh dan ketat memandangkan bentuk badan kurus dan pipih. Jadi apakah fesyen gaun malam yang sesuai untuk saya?

Pavithram, melalui emel.

Jawapan
Anda masih remaja. Jangan sesekali sekat pemikiran anda dalam berfesyen hanya kerana bentuk badan yang kurus dan pipih. Cuba lihat model antarabangsa yang cantik memperagakan pakaian di pentas peragaan walaupun punyai badan yang sangat kurus.

Prinsip utama untuk kelihatan bergaya ketika berpakaian adalah keyakinan diri yang dibawa bersama dengan pakaian diperaga. Pada saya, itu paling penting.

Untuk pengetahuan, fesyen remaja sangat meluas dan anda hanya perlu mencuba apa juga gaya sementara masih muda. Bagi mereka yang berbadan kecil, cuba gaya ‘modern dancer’ dan ‘roller girl’ yang menekankan potongan warna serta perincian pada baju.


NORAZURA Mazaruddin dengan salah satu dari rekaannya.

Tidak semestinya ia berkonsepkan ‘modern dancer’ tapi jika anda tidak yakin, cuba sarungkan skirt mini atau gaun singkat, penampilan anda pasti tampak menarik.

Ubah gaya malam anda dengan gaun malam paras lutut atau skirt beropol yang dipadankan bersama baju sendat yang benar-benar mengikut bentuk badan, berkeruk kemas dan tidak langsung menyembunyikan kelangsingan anda. Baju yang terlalu longgar kadangkala boleh mencacatkan penampilan kerana ia bukan saja boleh membuatkan anda kelihatan selekeh malah membuatkan anda kelihatan matang sebelum waktu.

Anda juga boleh mencuba ‘puffy sleeve’ di bahagian lengan bagi memberikan ilusi tubuh lebih berisi. Ia juga nampak nampak cantik, comel dan menonjolkan kewanitaan anda.

Pilihan warna pula biarlah dari rona terang bagi menaikkan seri ketika berpakaian sesuai dengan usia muda anda. Bagaimanapun, jangan saratkan penampilan dengan aksesori yang terlalu berlebih-lebihan. Berpeganglah pada konsep ‘less is more’.

Tip Azura:
Untuk mereka yang mempunyai bentuk badan yang kurus dan pipih tapi ingin kelihatan sedikit berisi, elakkan memilih pakaian dari fabrik sutera satin kerana ia akan mengikut bentuk badan dan menampakkan anda lebih kurus.

PROFIL: Norazura Mazaruddin

Usia : 24 tahun

Pencapaian :

  • Tempat pertama Anugerah Jarum Berlian 2003,
  • Pakaian Tercantik Permaidani Merah Murai.com 2007 (Raja Farah),
  • Pakaian Tercantik Anugerah Juara Lagu 2008 (Nora Danish),
  • Pakaian Tercantik
  • Pereka Terbaik Anugerah Bintang Popular 2008 (Nora Danish)

    Antara selebriti yang pernah menggunakan khidmat Azura ialah Datuk Siti Nurhaliza, Nora Danish, Rozita Che Wan, Amber Chia, Faizal Tahir, Amy Search dan Farid Kamil

  • Jika ingin mendapatkan khidmat pereka berbakat yang terkenal melalui label Azura Couture ini, hubungi 019-2586309 atau emel azuracouture@yahoo.com

    INFO
    Jika anda mempunyai kemusykilan mengenai fesyen sesuai dengan diri atau majlis yang hendak dikunjungi, ruangan ini mungkin dapat membantu. Hantarkan masalah anda untuk dijawab pereka fesyen berlainan setiap minggu melalui emel di bminggu@bharian.com.my atau pos ke alamat Berita Minggu, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau faks ke 03-22822425.

    Berita Harian