Rekaan Norazura Disenangi Selebriti

Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA
maria.zakaria@utusan.com.my
Gambar RASHID MAHFOF


Norazura Mazaruddin (kiri) berbincang bersama salah seorang pelanggan setianya, Reeza Fereen.

MENAMPILKAN rekaan-rekaan yang anggun dan tersendiri, yang pasti ‘buah tangan’ pemenang Anugerah Jarum Berlian 2003 ini sentiasa segar dan mengikut peredaran zaman.

Norazura Mazaruddin, namanya sudah tidak asing lagi di persada fesyen hari ini malah semakin meniti kukuh di bibir para penggemar fesyen tanah air.

Mula menggilap nama apabila menjuarai pertandingan Piala Jarum Berlian (PJB) pada tahun 2003, siswazah Jabatan Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini mula tampil dengan pelbagai rekaan yang kreatif dan menarik.

Menurut anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini, pertandingan tersebut telah memberinya peluang untuk terus berkarya.

Apa yang menarik untuk diceritakan, ujar Norazura atau lebih mesra disapa Zura, oleh kerana terlalu ghairah untuk menyertai pertandingan tersebut, dia menyimpan borang tersebut dan akhirnya berjaya menyertainya ketika menyambung pengajian peringkat diploma di Perak.

”Ketika itu umur saya baru 17 tahun dan asalnya saya tidak tahu apakah pertandingan Piala Jarum Berlian itu dan saya simpan borang pertandingan tersebut selama dua tahun.

”Akhirnya ketika saya menyambung pengajian di Perak barulah saya berpeluang untuk menyertainya dan tidak pernah menyangka penyertaan kali pertama terus memberi tuah kepada saya.

”Yang pasti ketika itu terpilih masuk ke pertandingan akhir merupakan satu rahmat inikan pula terpilih sebagai pereka fesyen terbaik,” jelas anak sulung daripada lima beradik ini.

Sememangnya meminati dunia fesyen, bagi Zura, segala idea yang ‘dicurahkan’ di atas sekeping kertas sebelum merealisasikannya di atas kain diperoleh daripada bahan-bahan bacaan baik melalui Internet, majalah-majalah tempatan mahupun majalah-majalah antarabangsa.

Tidak ketinggalan menggarapkan idea daripada pemantauan fesyen-fesyen antarabangsa terutama dari Indonesia.

Dengan idea kreatif serta berani mencetuskan kelainan dalam setiap rekaannya, pereka berusia 27 tahun ini gemar memilih fabrik mewah seperti satin, sifon dan dutches serta gabungan warna-warna terang agar tampak eksklusif.

Bagaimanapun, sepanjang berbual dengannya, ternyata anak muda ini gemarkan warna kuning.

Apa-apa pun, bagi Zura kerjayanya semakin meningkat naik dan rezeki yang tidak putus-putus membolehkannya dikenali ramai termasuk di kalangan artis dan orang kenamaan.

”Selepas memenangi pertandingan tersebut, saya mendapat kepercayaan daripada orang ramai untuk mereka pakaian bagi majlis perkahwinan, malam anugerah dan sebagainya.

”Daripada situlah, saya dikenali dan mula mendapat tempat dalam dunia fesyen,” katanya lagi.

Antara artis yang pernah menggayakan rekaannya ialah Nora Danish, Rozita Che Wan, Datuk Siti Nurhaliza, Fauziah Gous, Maizurah Hamzah, Ainul Aishah, Yana Samsudin dan Que Haidar.

Bagaimanapun, pereka yang memiliki bengkel di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan ruang pameran di Taman Melati ini memberitahu bahawa bermula awal tahun lalu, dia lebih menumpukan perhatian kepada busana perkahwinan.

Bukan itu sahaja, malah awal tahun ini juga menyaksikan Zura mengembangkan lagi perniagaannya dalam bidang perunding perkahwinan.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan Zura, anda boleh email kepadanya di azura@azuracouture.com atau layari www.facebook.com/azuracouture untuk melihat kesemua koleksinya.

Utusan