Rakaman 10,000 Keping Gambar Perkahwinan Siti-Datuk K

Oleh Haslinda Zainal

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) — Lebih 10,000 keping gambar dirakam oleh pasukan jurugambar rasmi pada majlis pernikahan dan persandingan Siti Nurhaliza dan Datuk Khalid Mohamad Jiwa bulan lepas.

Perkahwinan yang mendapat jolokan “Wedding Of The Decade” dianggap istimewa kerana tiga pakar fotografi terlibat untuk menghasilkan gambar yang terbaik dan pelbagai.

Bustamam Mokhtar, jurugambar dari White Studio, bertanggungjawab mengendalikan rakaman gambar perkahwinan itu bermula daripada majlis akad nikah di Masjid Wilayah Persekutuan pada 21 Ogos diikuti persandingan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 28 Ogos dan persandingan di Dataran Lipis, Pahang, pada 3 Sept.

“Sebelum tarikh pernikahan, saya diberitahu oleh kakak ipar Siti, Rozie, untuk mengambil gambar. Mulanya saya tak percaya dan selepas menghubungi Siti, barulah penyanyi itu mengesahkannya,” katanya kepada Bernama di studionya di sini.

Keakraban dan persahabatan yang lama terjalin menyebabkan pihak Siti Nurhaliza Production memilih Bustamam sebagai jurugambar rasmi majlis bersejarah itu.

Bustamam juga sering merakam gambar dan aksi artis popular tempatan untuk muka depan majalah dan kulit album. Album terbaru Siti Nurhaliza berjudul `Transkripsi’ yang turut memuatkan lagu `Biarlah Rahsia’ adalah antara hasil sentuhan kameranya.

“Bila saya dapat tugasan ini, saya terus terima walaupun saya kurang mahir dalam bidang perkahwinan. Kemudian saya tawarkannya kepada Pengurus Operasi Adan, Hasnuddin Abu Samah yang memang pakar dalam gambar perkahwinan dan beliau setuju,” katanya.

Kemudian, mereka bergerak sebagai satu pasukan dan berbincang mengenai perjalanan kerja serta menyiapkan kertas kerja antaranya mengenai bilangan jurugambar yang diperlukan, tempoh masa kerja, bilangan gambar yang diambil dan jenis album yang dikehendaki.

Pada majlis akad nikah, lima jurugambar digunakan bagi menghasilkan lebih 3,000 keping gambar manakala di Lipis empat jurugambar terlibat menghasilkan lebih 3,000 gambar yang dirakam tanpa edit.

Bustamam berkata persandingan di KLCC merupakan acara kemuncak kerana melibatkan jemputan hampir 6,000 orang, penggunaan dewan yang besar, kehadiran orang kenamaan selain pelbagai acara yang bermula sejak petang.

“Di KLCC ada enam jurugambar dari White Studio dan Adan tetapi saya tambah lagi dua jurugambar dari media dan hari itu kami hasilkan sebanyak 5,000 hingga 10,000 keping gambar,” katanya.

Bustamam berkata persandingan di KLCC terlalu istimewa kerana melibatkan tiga jenis kepakaran jurugambar iaitu jurugambar fesyen, jurugambar perkahwinan dan jurugambar media.

Beliau berkata sebagai jurugambar rasmi, mereka juga bertanggungjawab membekalkan gambar kepada pihak media kerana ada sesetengah jurugambar media tidak dibenarkan masuk.

Mereka menggunakan mesin khas iaitu “CD Duplicator” yang mampu menyalin sebanyak tujuh keping cakera padat (CD) dalam satu masa untuk diberikan kepada 40 jurugambar media pada malam itu juga.

“Ini merupakan kali pertama kami menggunakan mesin ini yang disewa di kedai video di Seremban dan proses menyalin gambar memakan masa selama tiga minit untuk setiap tujuh keping CD yang dihasilkan dan ini memang membantu kami menjimatkan masa,” katanya.

Bustamam berkata beliau sudahpun menghantar CD kepada Siti Nurhaliza yang memuatkan 900 keping gambar perkahwinan yang diedit oleh beliau, iaitu 300 keping untuk setiap acara.

Hasnuddin pula berkata beliau amat berbangga kerana terlibat sebagai orang penting dalam majlis perkahwinan penyanyi nombor satu negara itu.

“Memang banyak cabaran yang perlu dilalui dan agak sukar untuk ambil gambar mereka berposing. Cuma kami berkesempatan mengambil gambar mereka secara berseorangan selepas majlis khatam Al-Quran di kediaman Siti,” katanya.

— BERNAMA