Poster Siti di pusat pelacuran.

Oleh Zainuddin Zain
zainuddin@hmetro.com.my

DANOK (Selatan Thailand): Sebuah pusat pelacuran di pekan ini melekatkan poster gergasi penyanyi terkenal Malaysia, Siti Nurhaliza, di pintu masuk ke premis mereka sebagai daya tarikan kepada pelanggan.

Tindakan pemilik pusat berkenaan menghadirkan rasa kurang senang di kalangan peminat Siti Nurhaliza kerana penyanyi itu terkenal dengan imej bersihnya.

Perbuatan itu juga seolah-olah merendahkan martabat Siti Nurhaliza yang digelar `biduanita’ oleh komposer terkenal, Azmeer, ketika majlis Anugerah Industri Muzik (AIM) yang berlangsung Sabtu lalu.

Bertindak daripada aduan orang ramai, Harian Metro yang melawat pusat pelacuran itu semalam, difahamkan, poster gergasi berukuran semeter panjang dan 0.5 meter lebar digantung sejak awal tahun ini.

Poster itu dipercayai ditempah khas dan dilekatkan sehingga memenuhi pintu utama pusat pelacuran berkenaan.

Tinjauan mendapati pusat berkenaan mempunyai kira-kira 20 pelacur dengan sebahagian besar daripada mereka duduk di depan pusat itu sambil memanggil pelanggan.

Seorang jurujual, Mohd Dzaidin Zainal Abidin, 28, berkata dia terkejut apabila mendapati poster penyanyi nombor satu negara itu dilekatkan di depan pusat pelacur.

“Saya benar-benar malu dan berasa simpati dengan Siti Nurhaliza. Ini kerana beliau sentiasa cuba menjaga imejnya tetapi ada pihak yang mengambil kesempatan daripada popularitinya untuk tujuan tidak baik.

“Adakah menggunakan gambar Siti Nurhaliza untuk menarik orang ramai melanggan pelacur sesuatu yang baik? Takkan Thailand tidak ada artis yang terkenal untuk dilekatkan di situ.

“Saya bukannya peminat fanatik Siti Nurhaliza tetapi melihat gambar artis yang menjadi kebanggaan Malaysia kerana perwatakannya yang baik di depan pusat maksiat, saya berasa terhina dan marah.

“Malah, saya rasa seluruh rakyat Malaysia akan marah sama ada mereka suka atau tidak kepada Siti Nurhaliza,” katanya yang berasal Kedah.

Mohd Dzaidin berkata, dia ada bertanya kepada pihak berkuasa Malaysia sama ada perbuatan pusat berkenaan salah atau tidak tetapi diminta membuat aduan rasmi kepada Kedutaan Thailand.

“Saya rasa jalan terbaik adalah mendedahkan kepada akhbar supaya perkara ini dibangkitkan,” katanya.

http://www.emedia.com.my/