PM Lancar Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan


Najib Tun Razak bersama isteri, Rosmah Mansor; Muhyiddin Yassin dan isteri, serta menteri-menteri Kabinet yang lain menyanyikan lagu 1Malaysia beramai-ramai pada Malam Transformasi Bersama Rakyat Untukmu Malayisa di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi.

KUALA LUMPUR 27 Mac – Kira-kira 7,000 rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum membanjiri Stadium Putra Bukit Jalil bagi menyaksikan serta menyokong pelancaran laporan tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2010.

Laporan tersebut yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ternyata berjaya menarik perhatian rakyat negara ini yang teruja untuk mengetahui sejauh mana kejayaan program yang mula diperkenalkan pada 28 Januari tahun lalu.

Majlis bertemakan Malam Transformasi Bersama Rakyat: Untukmu Malaysia itu turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala serta menteri-menteri lain.

Pelancaran laporan tahunan itu juga diserikan lagi dengan persembahan artis terkenal tanah air seperti Datuk Siti Nurhaliza, Amy Search, Hattan, Aizat, Daniel Lee, Reshmonu, Alyah dan ramai lagi.

GTP meliputi enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu mengurangkan jenayah, membanteras rasuah, mempertingkatkan pencapaian pelajar dalam bidang pendidikan, mempertingkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah, mempertingkatkan infrastruktur asas luar bandar dan mempertingkatkan pengangkutan awam di bandar.

Laporan tahunan itu dilancarkan bertujuan memberi maklumat serta informasi kepada rakyat mengenai perkembangan dan pencapaian enam NKRA itu.

Selain itu, laporan tersebut juga turut menerangkan perancangan kerajaan dalam enam bidang utama itu pada masa hadapan serta usaha membawa negara merealisasikan hasrat mencapai status negara maju menjelang 2020.

Utusan