Pi Mai ‘Kempunan’ Ke Final

Oleh HANIZA HASSAN
Gambar NASIRRUDDIN YAZID


Aksi terakhir kumpulan Pi Mai di pentas Maharaja Lawak Mega yang berlangsung di Johor Bharu tidak mampu meneruskan kemaraan mereka ke peringkat seterusnya.

TIRAI pentas separuh akhir pertandingan realiti lawak terbesar rantau ini iaitu Maharaja Lawak Mega (MLM) yang bersiaran di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Johor minggu lalu sudah berlabuh.

Malah peserta yang mara ke pentas final juga bukan lagi rahsia apabila empat peserta iaitu Kumpulan Boboi, Syok, Saehu dan Osbon akan berentap sesama sendiri bagi merebut takhta juara sekali gus membawa pulang wang tunai RM350,000.

Mengimbau persembahan minggu ke sembilan itu, nasib tidak menyebelahi Kumpulan Pi Mai yang terpaksa akur apabila tersingkir dengan jumlah undian sebanyak 49 peratus jauh ketinggalan dengan empat peserta lain. Pi Mai nampaknya kempunan untuk mara ke final, jauh sekali merampas gelaran tertinggi pertandingan berkenaan.

Biarpun begitu, semua peserta yang diberi dua tugasan iaitu kisah dongeng dan kisah keluarga benar-benar membuatkan kira-kira 8,000 hadirin yang memenuhi stadium tidak berhenti ketawa.

Bagi Pi Mai yang dianggotai pelawak veteran, Sathia, Imuda dan Mat Over, berada dalam kelompok lima terakhir dan mampu bertahan sehingga ke pentas separuh akhir sudah cukup menggembirakan mereka.

Apatah lagi, berentap bersama 17 peserta lain sejak awal benar-benar memberi saingan sengit kepada mereka.

“Ini semua takdir, kami reda dengan keputusan yang tertulis. Adat pertandingan ada menang dan ada kalah.

“Namun kami sangat gembira dengan pencapaian kumpulan sehingga mampu melangkah ke separuh akhir.

“Selepas ini kami akan kembali kepada pekerjaan asal kami dan saya percaya pihak Astro tidak akan membiarkan kami begitu sahaja dan mungkin mereka akan merencanakan sesuatu untuk kami,” ujar Imuda ketika ditemui selepas habis program.

Mengakui satu hakikat, pemilik nama sebenar A.Rahim Muda itu berkata, faktor umur juga membuatkan mereka sukar untuk ‘menangkap’ jenaka zaman moden yang disifatkan lebih ‘bertenaga’ dan terus terang.

“Yelah masing-masing sudah berusia. Saya sendiri berumur 52 tahun manakala Mat Over pula dah nak masuk 60 tahun dan Sathia pula 47 tahun. Saya akui sedikit sebanyak ia memberi kesan kepada kami untuk mengikut rentak zaman sekarang.

“Teknik jenaka juga sudah berbeza. Namun saya sangat berterima kasih kepada Astro khususnya MLM kerana mengembalikan Pi Mai Pi Mai Tang Tu ke pentas seni. Ia merupakan kemunculan semula kami sejak tahun 2002 selepas ia mula ditayangkan pada tahun 1983,” katanya lagi.

Sementara itu, pengkritik tetap MLM, Datuk Chef Wan ketika sidang media berkata, Pi Mai mempamerkan lawak yang stereotaip setiap minggu malah konsistensi kumpulan berkenaan juga tiada.

Menyentuh soal isi kandungan, Chef Wan berkata, momentumnya tidak seiring, ada kala isi kandungannya bagus dan ada kala kurang menyerlah biarpun mereka mempunyai kekuatan tersendiri.

“Lawak mereka setiap minggu sama, tipikal Pi Mai. Jalan ceritanya ada namun bila bercakap soal isi kandungan, terdapat kekurangan.

“Lawak adalah sesuatu yang mudah. Ia diperjelaskan dan dibuktikan lagi dengan tawa yang tidak berpenghujung penonton. Jika mereka suka mereka akan ketawa dan mereka akan senyap bila ia tidak menjadi.

“Secara keseluruhan persembahan semua peserta termasuk Pi Mai, apa yang boleh disimpulkan mereka sudah menunjukkan yang terbaik. Kita nampak kegigihan mereka untuk melahirkan satu lawak yang bermutu dan tidak lari dari garis panduan yang ditetapkan,” katanya.

Seperti biasa, selain Chef Wan, barisan pengkritik MLM terdiri daripada Zainal Abidin Hassan, Datuk Siti Nurhaliza dan minggu lepas, juri jemputan ialah penyanyi, Ferhad.

Kumpulan Osbon mendahului para peserta lain pada MLM lepas dengan memperoleh 72 markah, diikuti Boboi (72), Saehu (59), Syok (58) dan Pi Mai (49).

Hadiah kepada pemenang pula adalah, juara akan membawa pulang wang tunai RM350 ribu dan trofi, tempat kedua pula, wang tunai RM250 ribudan trofi manakala tempat ketiga, wang tunai RM150 ribu dan trofi.

Utusan