Pesta fesyen artis di AIM2004.

DI sebalik riuh-rendah memperkatakan tentang kehambaran acara Anugerah Industri Muzik ke-11 (AIM), tetap ada yang menarik untuk diperkatakan iaitu pakaian yang digayakan oleh celebrity pada majlis itu.

Fesyen artis di karpet merah pada acara yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Sabtu lepas itu barangkali lebih menyerlah daripada apa yang berlangsung di pentas.

Seperti AIM2004 itu sendiri yang berlangsung tanpa satu fokus atau tema yang relevan dengan agenda muzik hari ini, pakaian yang digayakan oleh celebrity itu juga sedemikian.

Tetapi itu tidak bermakna celebrity yang hadir mengambil sikap sambil lewa apabila tiba masa untuk bergaya ke majlis rasmi seperti itu.

Apa yang menarik adalah keinginan artis itu untuk menggayakan yang terbaik untuk anugerah yang dianggap paling berprestij dalam industri muzik tanah air.

Ketepikan keinginan mereka yang memilih untuk menjadi antikarpet merah apabila memilih sekadar untuk mengenakan kemeja T atau seluar jean itu kerana masih ada yang tahu menghormati majlis sebaiknya.

Sememangnya artis kita sudah pandai dan bijak bergaya.

Mereka juga tahu tentang fesyen termasuk apa yang paling hangat pada masa ini.

Apa yang lebih menarik adalah kebanyakan daripada mereka memilih untuk bergaya dengan pakaian buatan Malaysia.

Kebanyakannya meletakkan kepercayaan kepada pereka tempatan untuk mencipta gaya paling menarik ke majlis itu.

Bercakap tentang busana anggun, artis yang paling menyerlah pada malam itu adalah penyanyi Ning Baizura.

Kita memperkatakan tentang busana anggun yang digayakan oleh Ning ketika membuat persembahan di pentas yang direka oleh Michael Ong.

Ning memilih untuk kelihatan anggun dan mewah dengan barang kemas iaitu rantai berlian daripada Carat Club.

Michael juga menjadi pilihan Siti Nurhaliza di karpet merah dan pentas ketika membuat persembahan bersama Ning, Liza Hanim, Siti Sarah dan Misha Omar.

Siti Nurhaliza turut mengayakan sandal tumit tinggi daripada Datuk Jimmy Choo yang dipadankan dengan busana berwarna ungu Michael ketika di karpet merah.

Bekas Ratu Cantik Malaysia dan pelakon filem, Elaine Daly juga memilih busana anggun berwarna ungu daripada pereka tempatan iaitu Orson Liyu.

Turut menghiasi badan Elaine yang cantik menawan itu adalah barang kemas daripada Carat Club.

Bill Keith pula menjadi pilihan celebrity radio popular, Linda Onn untuk mereka busana anggunnya yang mempunyai motif batik.

“Saya inginkan sesuatu yang ada unsur kemelayuan, jadi Bill mereka motif batik ini,” kata Linda.

Celebrity TV iaitu Maznah Zulkifli pula memilih koleksi busana kontemporari daripada pereka Radzuan Radzwill.

Sementara gaun hitam yang elegan rekaan Zang Toi pula digayakan oleh pelakon filem Puteri Gunung Ledang, Tiara Jaquelina.

Hitam juga pilihan penyanyi dari Indonesia, Ruth Sahanaya. Dia menggayakan gaun dan kebaya hitam di karpet merah dan pentas pada acara itu.

Tidak ketinggalan ada juga yang selesa dengan koleksi peribadi termasuk artis Julia Hana, Ezlynn dan Ella.

Siapa kata artis lelaki tidak pandai bergaya dan mereka itu tentu sekali bukan Anuar Zain, Hans Issac, Ajai atau Reshmonu yang kelihatan bergaya dengan koleksi pereka pilihan masing-masing.

Reshmonu iaitu pemenang Vokal Terbaik Dalam Album memilih label Kwan daripada Daniel Choo.

Sementara Ajai pula selesa dengan koleksi Rizalman Ibrahim. Tidak lupa isteri kesayangan Ajai, Nurul yang memilih koleksi Khoon Hooi.

http://www.utusan.com.my/