Pertandingan Karaoke Sempena Album Kisah Cinta

Hip

Pertandingan karaoke sempena album Kisah Cinta
Oleh Fatin Farhana Ariffin
bhnews@bharian.com.my
2011/04/14
ALBUM kompilasi cinta terbaru daripada Warner Music berjudul Kisah Cinta yang menggabungkan 46 lagu mengasyikkan dan penuh kesyahduan mendapat sambutan hangat daripada peminat apabila terjual melebihi 15,000 unit dalam masa dua bulan diedarkan.

Ia dihasilkan atas kerjasama dengan beberapa syarikat rakaman seperti EMI Malaysia, Sony Music, Universal, NSR, SNP dan Music Valley. album terbabit menggabungkan dua genre paling popular dalam industri muzik Malaysia, balada dan pop rock.
Dengan gabungan lagu cinta terbaik sepanjang 30 tahun, Kisah Cinta mengandungi irama malar segar seawal 1980 bersama beberapa ciptaan terbaru, menjadikan album ini koleksi cukup istimewa.
Bagi menguatkan lagi promosinya, Warner Music menganjurkan Pertandingan Karaoke Interpretasi Kisah Cinta, yang terbuka kepada warga negara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas. Setiap peserta hanya dikehendaki membawa resit pembelian CD Kisah Cinta atau VCD Kisah Cinta sebagai syarat penyertaan.

Manakala borang penyertaan pula boleh didapati daripada majalah Media Hiburan bermula keluaran 15 April 2011. Bagi pilihan lagu pula, setiap peserta dikehendaki menyanyikan lagu yang dimuatkan dalam VCD Kisah Cinta.

Antara 30 lagu pilihan yang disenaraikan dalam VCD berkenaan ialah Biarlah Rahsia oleh Siti Nurhaliza, Kekasih Awal dan Akhir (Jamal Abdillah), Janji Manismu (Aishah), Kerana Terpaksa (Fran), Madah Berhelah (Ziana Zain), Ratuku (Awie), Curiga (Ning Baizura), Dia (Fauziah Latiff), Gerimis Mengundang (Slam), Di Sana Menunggu Di Sini Menanti (Ukay), Epilog Cinta Dari Bromley (Sohaimi Mior Hassan) dan Kau Kunci Hatiku (Ramlah Ram).

Pertandingan ini berlangsung di beberapa lokasi cawangan Red Box di sekitar Semenanjung Malaysia.

Berikut ialah tarikh dan lokasi pilihan pertandingan ini berlangsung iaitu di Red Box Johor Bahru pada 7 Mei ini, Red Box Seremban 2 (8 Mei), Green Box Jusco Bukit Tinggi, Klang (14 Mei) dan Red Box Ria Sogo Kuala lumpur (15 Mei).

Pemilihan pemenang bagi peringkat saringan di setiap lokasi pertandingan akan diumumkan pada sebelah petang hari yang sama. Tiga pemenang yang dipilih dari setiap lokasi di peringkat saringan akan dibawa ke peringkat akhir yang bakal diadakan pada 21 Mei di Rex Box IOI Puchong.

Pertandingan ini menawarkan hadiah lumayan iaitu RM3,000 bagi juara, RM2,000 bagi tempat kedua, manakala RM1,000 bagi tempat ketiga.

Maklumat lanjut mengenai pertandingan ini boleh didapati dengan melayari laman web www.sinar.fm, menerusi majalah Media Hiburan, menghubungi urus setia iaitu Warner Music di talian 03-77212688 ataupun dengan mengunjungi cawangan Red Box di seluruh Malaysia.

Berita Harian