Persaingan sengit balada.

SELEPAS kategori Irama Malaysia dan pop rock, petang ini giliran lagu-lagu balada untuk meneruskan cabaran ke Juara Lagu 2002. Pastinya kategoriini paling dinantikan ramai kerana membariskan lagu yang dinyanyikan oleh penyanyi popular seperti Siti Nurhaliza, Liza Hanim, Ziana Zain dan Ella.

Apatah lagi persaingan kategori ini cukup sengit bagi penyanyi solo kerana menguji kemantapan vokal penyanyinya. Turut memberi cabaran hebat ialah Zamani dan Elyana yang mempunyai vokal bertenaga dan bakal menggugat penyanyi senior.

Zamani juga bakal memberi saingan hebat kepada penyanyi wanita seterusnya memecahkan monopoli mereka ke Juara Lagu 2002.

Sepuluh lagu yang dipertandingkan petang ini ialah Duhai Malam (Intan Sarafina), Niat (Elyana), Asmara Ini (Fazley), Syair Si Pari Pari (Zamani), Terkenang Jua (Ziana Zain), Gelisah Mimpi (Liza Hanim), Retak (Ella), Kau Tetap Di Hati (Zul & Liza Hanim), Bicara Manis Menghiris Kalbu (Siti Nurhaliza) dan Menadah Gerimis (Ziana).

Empat lagu yang diramalkan bakal menjadi pilihan juri ialah Syair Si Pari Pari, Terkenang Jua, Retak dan Gelisah Mimpi tetapi peluang lagu lain tetap cerah terutama lagu Niat.

Bagi Ziana, petang ini memberi peluang kepada Ziana menebus kekalahan menerusi Irama Malaysia apabila menyandarkan harapan kepada dua lagu iaitu Terkenang Jua dan Menadah Gerimis.

Antara dua lagu ini, masing-masing mempunyai peluang. Menadah Gerimis ciptaan Azmeer diangkat sebagai single pertama album Ziana dan Terkenang Jua ciptaan Ajai juga menarik pada melodinya.

Tekanan mungkin dirasakan Ziana menyanyikan Menadah Gerimis yang agak sukar dibawakan secara ‘live’ apatah lagi dalam pertandingan seperti ini.

Siti pula tidak berjaya meneruskan perjuangannya semalam apabila Indahnya Percintaan gagal menyertai lagu Nirmala (Irama Malaysia) ke Juara Lagu 2002 dan petang ini Siti mempertaruhkan satu lagi lagu daripada album Safa, Bicara Manis Menghiris Kalbu ciptaan Aiman dan lirik Lukhman S.

Bagaimanapun peluang Siti agak sukar kali ini malah pertarungan tahun ini tidak begitu meriah sebagaimana sejarah Juara Lagu sebelumnya kerana Siti sekadar berjuang melalui lebihan lagu-lagu dalam album Safa.

Tahniah diucapkan kepada Fazley yang berjaya melayakkan dirinya ke separuh akhir menerusi lagu Asmara Ini ciptaan Ajai, begitu juga dengan Intan Sarafina (Duhai Malam) tetapi agak sukar meramalkan peluang dua lagu ini.

Rancangan yang diterbitkan oleh Khalijah Mohamad disiarkan secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam menerusi TV3, jam 4.00 petang. Artis jemputan yang muncul sebelum keputusan diumumkan ialah NRG manakala Ary Malik bertindak sebagai pengacara.

http://www.emedia.com.my/