Peranan Golongan Hawa Dalam Kemerdekaan


Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak (empat dari kiri) dan Mohamad Shahrom Osman (tengah) beramah mesra dengan ibu penyanyi terkenal Siti Nurhaliza Tarudin, Siti Salmah Bachik (duduk, kiri) di Kuala Lipis, baru-baru ini.

KUALA LIPIS 25 Sept. – Peranan yang dimainkan oleh golongan hawa dalam memperjuang kemerdekaan tanah air dan pengisian pembangunan negara amat jelas serta tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Pengangkutan dan Pertumbuhan negeri, Datuk Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak berkata, peranan wanita bukan sahaja mencorakkan keluarga bahagia, malah, mereka turut terlibat dalam menuntut kemerdekaan.

“Justeru itu, kita perlu mengikis sikap memperkecil kebolehan wanita kerana tanpa wanita yang juga ibu, kita tidak akan lahir ke dunia ini dan mengecapi kesejahteraan hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Merdeka meraikan 12 orang wanita bekas pemimpin Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Wanita UMNO daerah Lipis, di sini kelmarin.

Hadir sama, Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr. Mohamad Shahrom Osman; Naib Ketua UMNO Lipis, Mustafa Long; Ketua Wanita UMNO Lipis, Siti Fatimah Yahya dan Ketua Puteri UMNO, Hartini Othman.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta berkata, pemimpin UMNO dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu menerapkan sikap tanggungjawab kepada golongan muda supaya menghormati bekas pemimpin wanita mahupun ibu masing-masing.

“Kesedaran ini amat penting supaya generasi muda sentiasa prihatin dan hormat terhadap warga emas terutama ibu bapa masing-masing.

“Hargailah jasa mereka di kalangan golongan hawa kerana mereka terlebih dahulu menjadi individu yang membangunkan negara yang hari ini maju, aman dan harmoni,” ujarnya.

Utusan