Penyanyi terkenal serikan pengantin diraja.

Oleh Izza Safinaz Ibrahim

Majlis yang berlangsung di Dewan Mulia, Istana Abu Bakar, Pekan itu dihadiri 2,000 jemputan termasuk Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

Persembahan dimulakan lagu Dendang Pengantin oleh Nor Fazrah dan Oshin diiringi tarian Kumpulan Sri Indera Putri Pahang, seterusnya diserikan persembahan Yusni Hamid sebaik saja acara santapan bermula. Penyanyi veteran itu menyampaikan lagu Hati Ke Hati dan lagu Inggeris, Fallen.

Majlis bertambah ceria dengan kehadiran penyanyi Indonesia, Bob Tutopoli yang mengalunkan lagu popularnya, Widuri diikuti lagu Erti Kehidupan. Kekuatan vokalnya masih hebat dan mendapat tepukan gemuruh hadirin.

Khas buat perkahwinan diraja, Kumpulan Sri Indera Putri Pahang sekali lagi mempersembah tarian iringan, Seri Nilam Permata nyanyian Nor Fazrah. Penyanyi undangan dari Filipina, Lani Misalucha, tampil bersemangat mendendangkan lagu pilihannya. Suaranya yang lunak bertenaga membuat jemputan terpegun ketika mendengar lagu You Don’t Have To Say You Love Me, She, Say A Little Prayer, Il Mio Cuore Va (My Heart Will Go On) dan I Have Nothing.

Lani kemudiannya menjemput Siti Nurhaliza ke pentas untuk bersama mendendangkan lagu When You Believe yang dipopularkan Whitney Houston dan Mariah Carey. Siti yang anggun menggayakan kurung moden kuning air meneruskan persembahan dengan lagu Sulam Sembilan, My All dan lagu popularnya, Percayalah.

Persembahan malam itu terus hangat apabila Siti berganding dengan Bob Tutopoli untuk lagu Kau Selalu Di Hatiku.

Malam gemilang yang diacarakan Mahadzir Lokman dan Norjuma itu kemudiannya diakhiri upacara memotong kek perkahwinan pengantin diraja. Selain kerabat diraja dan orang kenamaan, beberapa artis dan personaliti terkenal turut hadir termasuk M Nasir, Marlia Musa, Hattan, Fauziah Latiff, Ning Baizura, Zalina Azman, Camelia, Rahimah Rahim, Yasmin Hani, Anis Suraya, Azzarima, Elly Mazlein, Dang Suria, Abu Bakar Atan, Katon Bagaskara, Azura Aziz, Habsah Hassan dan Aziz Sattar.

http://www.emedia.com.my/