Penghargaan buat saya

CABARAN pertama bagi perancang perkahwinan pasangan sensasi, Datin Siti Nurhaliza Tarudin dan Datuk Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K sudah selesai dengan majlis pernikahan di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, kelmarin.

Pastinya, Datuk Raja Rezza Shah mampu menarik nafas lega apabila cabaran menjelang majlis pertunangan dan pernikahan pasangan ini berjaya dilalui, terutama kerja menyiapkan 28 hantaran bagi kedua-dua pihak.

Namun, tugasnya belum selesai kerana acara kemuncak majlis yang digelar ?wedding of the year? itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Isnin ini. Untuk majlis di Kuala Lipis, Pahang pada 3 September pula dilakukan keluarga Siti.

Pelakon popular sekitar 80-an yang dikenali sebagai Shah Rezza ini, tiba-tiba menjadi tumpuan sedangkan dia agak lama menyepi dari dunia glamor sebagai artis. Filem terakhirnya ialah Hati Bukan Kristal pada 1990.

Semuanya bermula apabila Datuk K memilih Nusantara Gems Sdn Bhd milik Shah Rezza, 45, sebagai perancang perkahwinan mereka, bulan lalu. Sudah tentu cabaran lebih besar menanti anak kelahiran Ipoh, Perak ini menjelang detik persandingan Siti, Isnin ini.

Wartawan Eksekutif Harian Metro, HARTATI HASSAN BASRI meninjau perancangannya untuk majlis gemilang yang pasti dinantikan seluruh peminat Siti di Nusantara ini.

SOALAN (S): Bagaimana perasaan anda sebaik saja majlis pernikahan selesai?

JAWAPAN (J): Lega sangat kerana majlis selesai mengikut masa yang diperuntukkan iaitu tamat jam 12 tengah hari. Itu yang paling saya bimbang kerana ia disiarkan secara langsung menerusi TV3 dan saya perlu mengikut waktu siaran itu.

Sebelum ini saya selalu tekankan ia bakal berlangsung dalam suasana sederhana tetapi meriah. Paling penting ia dibuat mengikut penerbitan televisyen. Apabila berlangsung mengikut jadual, ia satu kejayaan bagi saya.

S: Komen anda mengenai majlis pernikahan kelmarin?

J: Saya sudah buktikan kata-kata saya sebelum ini, Datuk Khalid dan Siti mahukan majlis sederhana dan ringkas. Saya harap mereka yang menyaksikan siaran langsung itu puas hati dengan kerja saya. Bagi saya gubahan hantarannya cantik dan istimewa manakala majlisnya penuh dengan konsep tradisional.

S: Ada apa-apa masalah yang dihadapi?

J: Sebaik saja dipilih sebagai perancang perkahwinan, saya sedar tidak boleh buat segala-galanya. Jadi saya meminta bantuan rakan lain yang berpengalaman dalam bidang ini. Contohnya, Raja Sani Iskandar membantu saya membuat gubahan hantaran dan Cam & Ashley dari Kapas Couture menyediakan pelamin kedua khusus untuk media di Tingkat 2, KLCC.

Alhamdulillah, tiada masalah kerana kami berbincang setiap minggu iaitu Rabu dengan semua pihak yang terbabit dalam kerja-kerja ini.

S: Apa yang anda tekankan untuk majlis perkahwinan Siti?

J: Semua tahu Siti dikenali menerusi lagu pop dan juga Irama Malaysia, tetapi saya rasa Siti paling dikenali menerusi lagu Cindai. Itulah kemuncak populariti Siti hingga berjaya meluaskan kerjayanya di Indonesia. Jadi, saya mahu majlis perkahwinan ini penuh adat istiadat Melayu dan tradisional tetapi waktu sama tidak lupa konsep moden.

Anda boleh lihat menerusi gubahan hantaran yang saya namakan mengikut lagu popular Siti, Sanggar Bayu dan Adi Warna untuk pertunangan manakala pernikahan dinamakan Azimat Cinta dan Sebenar Cinta. Ia kombinasi tradisional dan moden iaitu dari Siti untuk suami konsep tradisional manakala Datuk Khalid kepada Siti moden.

Untuk warna pula, saya guna emas untuk gubahan daripada Siti manakala perak daripada Datuk Khalid bagi acara pertunangan manakala pernikahan warna hijau melambangkan daun daripada Datuk Khalid dan merah jambu (bunga) daripada Siti.

S: Apakah anda anggap ini projek paling mencabar sepanjang kerjaya sebagai perancang keluarga?

J: Publisiti besar yang diberikan terhadap majlis perkahwinan ini menyebabkan orang menjangkakan sesuatu yang hebat dan mewah hingga dikatakan membabitkan kos lebih RM12 juta dan saya sendiri mendapat RM1.5 juta. Bayaran sebenarnya sekitar RM500,000 dan sebahagian daripadanya untuk makanan bagi majlis di KLCC membabitkan 2,200 tetamu.

Sebenarnya saya tidak fikir soal bayaran, tetapi saya terima tugas ini kerana sedar publisiti yang besar yang akan saya terima. Saya agak memilih dan tidak mengambil projek sebarangan. Apabila saya dipilih, publisiti yang diterima cukup besar.

Saya juga menganggap pemilihan ini satu penghargaan. Saya hanya berharap semuanya berjalan lancar dan cuba buat yang terbaik. Selebihnya saya serahkan kepada Tuhan. Alhamdulillah, setakat ini saya sangat berpuas hati.

S: Bagaimana pula dengan majlis di KLCC pada 28 Ogos ini?

J: Ia kemuncak segala-galanya. Saya mahu semua tetamu pulang dengan hati yang puas dan gembira. Selain menjamu selera, mereka akan dihiburkan dengan persembahan kebudayaan daripada penari Pak Ngah dan pemuzik pimpinan S Atan serta persembahan nyanyian daripada penyanyi terkenal. Antaranya Kris Dayanti, Melly Goeslaw, Ziana Zain, Nora, Nash dan Ezlynn. Ia memang dirancang khusus untuk majlis perkahwinan Siti Nurhaliza dan berharap segalanya berjalan mengikut perancangan.

Kerja membuat pelamin di KLCC akan dimulakan Sabtu ini diikuti kerja menghias. Saya juga akan mempamerkan barang hantaran ketika majlis pertunangan dan pernikahan untuk tatapan mereka yang tidak dapat hadir semalam (kelmarin). Begitu juga pakaian yang dipakai Siti turut dipamerkan.

S: Berapa ramai orang yang terbabit dengan kerja ini nanti?

J: Hampir 200 orang termasuk 20 kakitangan saya, krew TV3, penari Pak Ngah, pemuzik gamelan dan juga penari balet.

S: Siapa tetamu VVIP yang akan hadir?

J: Buat masa ini yang sudah mengesahkan kehadiran Sultan dan Sultanah Pahang, Terengganu, Pemangku Raja Perlis dan Raja Muda Perak, beberapa kerabat lain dan juga menteri.

S: Bagaimana pula dengan pakaian Siti?

J: Siti akan memakai songket warna krim rekaan Radzuan Radzwill manakala untuk acara memotong kek gaun rekaan Michael Ong. Siti juga akan memakai tiara dan barang kemas tajaan Elegance Club Sdn Bhd.

S: Difahamkan, acara naik kuda di taman KLCC pada petang Isnin dibatalkan atas sebab keselamatan. Sudah tentu ramai kecewa kerana tidak dapat melihat Siti secara lebih dekat. Apa komen anda?

J: Acara ini dibatalkan selepas mempertimbangkan sedalam-dalamnya dari segala aspek dan bimbang majlis bersejarah Siti bertukar menjadi sebaliknya. Jadi, lebih baik dibatalkan tetapi kami sedang merancang sesuatu sebagai gantinya.

Apa yang penting, mereka dapat melihat majlis persandingan Siti dengan lebih jelas melalui siaran langsung TV3 mulai jam 9 malam.

S: Mengapa Datuk Khalid memilih anda?

J: Selain pengalaman selama 20 tahun dalam bidang ini, kelebihan saya yang lain mungkin kerana saya artis, jadi saya lebih tahu bagaimana majlis untuk seorang artis. Memang saya tidak mengenali beliau secara dekat. Pemilihan saya kerana kemampuan saya.

Bukan mudah untuk merancang segala-galanya dalam tempoh yang singkat iaitu sebulan (sebaik saja Siti mengumumkan tarikh perkahwinannya dalam sidang media khas pada 17 Julai). Saya perlu bekerja dalam waktu suntuk dan juga saat akhir. Saya sudah biasa dengan semua ini. Mungkin Datuk Khalid mengambil kira soal ini.

S: Anda merancang perkahwinan orang lain, bagaimana dengan perkahwinan sendiri?

J: Bukan saya tidak mahu berkahwin tetapi saya percaya jodoh di tangan Tuhan. Sebenarnya saya hampir melangsungkan perkahwinan dengan seseorang tujuh tahun lalu, tetapi tidak jadi kerana fitnah orang. Apabila melihat pelbagai tohmahan yang harus dilalui pasangan Siti, saya dapat merasakannya kerana saya pernah melaluinya dulu.

Tapi saya tidak pernah serik atau menjadikan perkara itu sebagai punca untuk terus membujang hingga kini. Bagi saya fitnah itu hanya penyebab dan mungkin ada hikmahnya. Kalau ada jodoh, memang saya mahu kahwin tapi buat masa ini belum ada calon. Biar saya tumpukan kepada perniagaan buat masa ini.