Pengganti Muzikal P Ramlee Dicari

Hip
Pengganti Muzikal P Ramlee dicari
Oleh Muhamad Fairoz Azizan
muhamadfairoz@bharian.com.my
2012/04/19
TERKEJUT dengan penarikan diri Enfiniti Vision Media Sdn Bhd untuk mementaskan teater P Ramlee The Musical musim ketiga yang dijadualkan pada 1 hingga 18 November ini akibat ketiadaan penaja, Istana Budaya (IB) kini berusaha mencari pengganti untuk mengisi kekosongan itu.

Menganggap syarikat milik Datin Seri Tiara Jacquelina itu mampu membawa persembahan berskala besar ke IB serta mempunyai pengikutnya tersendiri, Ketua Pengarah IB, Datuk Mohamed Juhari Shaarani, terpaksa akur dengan keputusan itu.
Tidak terkilan dengan tindakan yang diambil kerana perkara terbabit dimaklumkan lebih awal kepadanya, Juhari membuka peluang kepada produksi teater yang sudah pun merancang untuk mementaskan persembahan mereka pada tahun depan bagi mengisi slot itu.
Agak sedih juga kerana teater itu sudah dirancang sejak setahun lalu dan diletakkan dalam senarai persembahan berskala besar di IB. – Mohamed Juhari Shaarani, Ketua Pengarah IB
“Isnin lalu saya dihubungi pegawai Enfiniti mengenai pembatalan uji bakat bagi mencari pelakon untuk teater ini. Ia disusuli dengan Tiara yang memaklumkan mengenai penarikan teater berkenaan atas sebab ketiadaan penaja.

“Agak sedih juga kerana teater itu sudah dirancang sejak setahun lalu dan diletakkan dalam senarai persembahan berskala besar di IB. Kita sedang memikir dan mencari program bersesuaian untuk mengisi tempat mereka. Jika tidak persembahan besar, mungkin membabitkan dua program kecil,” katanya ketika dihubungi HIP, semalam.

Merujuk kenyataan Tiara dalam sebuah laman portal hiburan, penarikan diri itu dibuat kerana kegagalan pihaknya mendapatkan penaja yang mencukupi bagi menampung projek pementasan berkenaan.

Bagaimanapun, Enfiniti akan mempertimbangkan semula keputusan itu seandainya projek terbabit mendapat penajaan yang sesuai pada masa akan datang, supaya syarikatnya dapat terus melahirkan produksi teater muzikal berkualiti.

“Kita faham dengan keadaan ekonomi sekarang yang tidak menentu, jadi syarikat besar takut untuk melaburkan wang mereka ke dalam projek seni macam ini. Cuma saya agak terkilan dengan syarikat korporat gergasi yang nampaknya lebih memberi tumpuan kepada produksi luar, berbanding produksi tempatan.

“Teater sebegini tidak boleh mengharapkan hasil jualan tiket semata-mata. Ia memerlukan penaja, serta membabitkan kos besar. Agak sedih buat IB kerana dua syarikat besar mengambil keputusan untuk berehat sementara waktu, sehingga tahun depan,” katanya.

Selain teater P Ramlee The Musical, kalendar IB turut menyenaraikan teater Tun Siti Hasmah dan Datuk Bahaman yang akan dipersembahkan pada September ini, disusuli teater Cun The Musical pada Oktober.

P Ramlee The Musical yang memasuki musim ketiga meniti perjalanan hidup seniman agung itu dengan mengenengahkan lagu-lagu daripada filem lakonan dan arahannya yang masih segar dalam ingatan peminat sehingga kini.

Menceritakan kisah silam ikon seni kebanggaan negara itu, teater yang pernah menampilkan Sean Ghazi, Musli Ramlee, Liza Hanim, Atilia, Melissa Saila dan Datuk Siti Nurhaliza dipentaskan sebanyak dua kali di pentas berprestij itu, dan sekali di Singapura. Ia juga pernah memenangi enam trofi pada Anugerah Kesenian BOH Cameronian ke-6 pada 2007.

Berita Harian