Penduduk terkejut Siti Nurhaliza hadir majlis kenduri kampung

GEMAS: Lebih 1,000 penduduk di Taman Gemas Indah, di sini, terkejut selepas mendapati tetamu khas yang dijemput pada majlis kenduri kampung penduduk bersama pemimpin, malam kelmarin adalah penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin.

Penyanyi itu dijemput khas calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Tampin, Datuk Shaziman Abu Mansur yang juga rakannya dan suami bagi memeriahkan majlis bersama penduduk.

Siti berkata, beliau terharu dengan sambutan penduduk dan berterima kasih kepada penganjur yang sudi menjemputnya dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

“Sambutan yang saya terima sungguh meriah, macam calon yang bertanding pula. Saya berterima kasih kepada Datuk Shaziman yang sudi menjemput kami, malah malam ini (kelmarin), saya dapat menikmati masak lemak cili padi,” katanya ketika ditemui.