Penangan Penglipur Lara

Sastera

Penangan penglipur lara

2011/06/27
pix_gal0
PERSEMBAHAN tokoh penglipur lara dan Orang Hidup Malaysia, Ali Badron Sabor yang berceloteh sambil memalu gendang memberi kelainan kepada Malam Puisi Riong BH-UTHM dan bertambah menarik apabila dalam baik ikon tertentu dalam dunia seni tanah air sempat menjadi bahan jenaka nakalnya.

Ali Badron salah seorang daripada dua tokoh penglipur lara yang masih bersisa di negara ini sempat mengusik bekas penyanyi nombor satu negara yang kini menjadi usahawan kecantikan, Datuk Siti Nurhaliza Taharuddin, ketika berkisah mengenai Umi Kalsom Ratna Dewi Kilat Berdentum di Waktu Senja.
Konon tersebut sebuah kisah di zaman bahari
di hujung sebuah negeri
ada raja memerintah dengan adil dan saksama

dibantu oleh para menteri yang adil dan saksama

baginda mempunyai seorang puteri

seorang puteri yang diberi nama

Umi Kalsum Ratna Dewi kilat berdentum di waktu senja

akan Tuan Puteri Umi Kalsum ini seorang perempuan

yang tersangat cantik sekali
sepuluh kali Siti Nurhaliza bukan tandingnya

Kisah keengganan puteri menerima pinangan yang dikisahkan secara jenaka bukan saja menarik perhatian generasi muda yang turut membanjiri Malam Puisi Riong BH-UTHM, tetapi juga mendedahkan kepada mereka kaedah penglipur lara berhikayat.

Ali Badron yang turut dikenali ramai sebagai Pak Ali Tarbus begitu terharu dijemput memeriahkan sama Malam Puisi Riong BH-UTHM sedar cerita rakyat semakin dilupakan, sempat mengusik Naib Canselor UTHM, Prof Datuk Dr Mohd Noh Dalimin, sehingga seluruh Dewan Terbuka UTHM bergema dengan tawa khalayak.

“Hanya ada dua orang saja pakar penglipur lara yang masih ada di Malaysia dan seorang daripadanya ialah saya. Rugi jika generasi muda tidak mengenal dan mendalami cerita rakyat yang disampaikan penglipur lara dengan tujuan memberi hiburan kepada khalayak. Penglipur lara juga menyampai mesej dan maklumat melalui cerita yang disampaikan.” katanya.

Apabila Puteri Umi Kalsum Ratna Dewi Kilat Berdentum di Waktu Senja

sudah menjadi gadis remaja

dia tidak boleh berjalan seorang diri kerana siapa memandang

siapa memandang jatuh berahi

kalau tak gila, kalau tak gila, setengah mati

mukanya bulat bulan purnama, hidungnya mancung seludang mayang

matanya itu bintang timur, pipinya putih telur dikupas

dagunya bulat lemah tergantung, giginya putih mutiara tersusun

bibirnya manis limau seulas lehernya jinjang buyung petani

dadanya molek membusut jantan

pinggangnya ramping macam kerengga

pinggulnya itu keranjang bawang

betisnya pula bunting padi

rambutnya mayang mengurai

Khalayak yang mendengar Puteri Umi Kalsum Ratna Dewi Kilat Berdentum di Waktu Senja tersenyum sendiri pada penghujung persembahan apabila mengetahui gadis rupawan itu akhirnya menerima pinangan Ali Badron dan mereka hidup kekal sebagai suami isteri sehingga ke anak cucu.

Berita Harian